“GLAMPING WITH PRIDE” : JANGAN PERKECIL KEMUNGKARAN, KUASA ADALAH AMANAH

 

YB USTAZ DATO' HAJI MOHD NOR HAMZAH

Ketua Penerangan,

Dewan Ulamak PAS Pusat.


KENYATAAN MEDIA

DEWAN ULAMAK PAS PUSAT (DUPP)

Dewan Ulamak PAS Pusat memandang serius kenyataan oleh Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menyifatkan penganjuran program bertema “Glamping with Pride” sebagai isu kecil serta menasihatkan agar masyarakat memberi tumpuan kepada perkara lain yang dianggap lebih membina.

Kami ingin menegaskan bahawa dalam neraca Islam, tidak wujud istilah “kemungkaran kecil” apabila sesuatu perbuatan melibatkan usaha menormalisasikan perkara yang jelas bercanggah dengan fitrah, syarak dan nilai agama. Sesuatu kemungkaran hanya kelihatan kecil kepada mereka yang memilih untuk memperkecilkan dosa dan mengendurkan kewajipan amar makruf nahi mungkar.

Dalam kerangka Islam, pembinaan negara tidak bermula dengan struktur dan ekonomi semata-mata, tetapi bermula dengan nilai, adab dan disiplin moral masyarakat. Oleh itu, perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan akhlak awam tidak wajar dianggap remeh, walaupun ia kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak.

Islam mendidik umat agar peka terhadap kerosakan pada peringkat awal, kerana kebinasaan besar sering bermula daripada kelalaian terhadap perkara yang dianggap kecil. Justeru, teguran dan kebimbangan yang dizahirkan masyarakat beragama wajar diraikan, bukan diketepikan.

Pendekatan memperlekeh, meremeh atau mengabaikan kemungkaran bukanlah manhaj Islam, bahkan bercanggah dengan ajaran Rasulullah ﷺ. Sabda Baginda ﷺ:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

“Barang siapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu maka dengan lisannya; dan jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Hadis ini dengan jelas meletakkan tanggungjawab mengubah kemungkaran berdasarkan kemampuan dan kedudukan. YB Menteri Hal Ehwal Agama bukan sekadar individu biasa, bahkan memegang autoriti, kuasa dan amanah negara yang mewajibkan tindakan melalui kuasa dan dasar, bukan sekadar pemantauan atau pengecilan isu.

Suruhan Nabi ﷺ bukan untuk menormalisasikan, menangguhkan atau mengabaikan kemungkaran, tetapi berusaha sedaya upaya mencegah dan mengubah keadaan yang mungkar. Kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah isu ini remeh dan tidak perlu ditangani secara tegas hanya akan membuka ruang kepada keberanian pihak tertentu untuk terus mencabar nilai Islam di negara ini.

Firman Allah SWT:

“Dan peliharalah dirimu daripada fitnah yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja…”

(Surah al-Anfal: 25)

Ayat ini mengingatkan bahawa pengabaian terhadap kemungkaran akan mengundang kesan buruk yang menimpa seluruh masyarakat, bukan terhad kepada pelaku semata-mata.

Tanggungjawab kepimpinan agama ialah memandu kefahaman umat, menenangkan keadaan dengan hikmah, serta memastikan pembangunan negara selari dengan nilai dan maqasid syariah. Pembangunan yang mengabaikan dimensi nilai akan kehilangan roh dan arah.

Kami menyeru agar YB Menteri mencontohi pendekatan tegas dan berprinsip seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, yang bukan sahaja membendung penganjuran program berunsur songsang, bahkan melaksanakan langkah kesedaran, pendidikan dan pencegahan secara menyeluruh, sebagai tanda bahawa masyarakat Islam tidak redha dan tidak berkompromi dengan kemungkaran.

Pendekatan sedemikian mencerminkan kesungguhan mengambil serius ancaman kerosakan moral demi memelihara agama, menjaga maruah masyarakat dan melindungi negara. Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan bahawa memerangi kemungkaran bukan penghalang kemajuan, bahkan asas kepada keberkatan dan kesejahteraan negara.

Mengabaikan kemungkaran atas nama “progresif” dan “dinamik” hanya akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kami yakin bahawa mempertahankan nilai bukan halangan kepada kemajuan, sensitiviti agama adalah tanda kematangan masyarakat dan pembangunan sebenar hanya bermakna apabila kemajuan material seiring dengan keteguhan akhlak.

Sekian.

Post a Comment

0 Comments