“FOKUS PENYATUAN, BUKAN ‘KUBURKAN’ PARTI LAWAN” - HAIM HILMAN

Roslinda Hashim 

SUNGAI PETANI - Orang Melayu memerlukan satu kekuatan baharu bagi membina negara yang lebih baik, dengan memberi tumpuan kepada usaha menyatukan parti-parti politik, bukannya ‘menguburkan’ mana-mana pihak daripada radar politik negara.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kepimpinan parti seharusnya tidak berfikiran sempit mendoakan parti lawan ‘terkubur’, sebaliknya bersikap terbuka dan bersaing secara sihat demi kestabilan politik dan pembangunan negara.

“Baik UMNO atau PAS, apa juga parti sekalipun, kita mahu semua bersama dalam membentuk Malaysia baharu yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Kita hanya perlu fokus bagaimana untuk menyatukan, bukan melihat siapa yang hilang daripada radar politik negara. Kita (PAS) tidak berminat untuk melihat rakan atau lawan politik kita terkubur.

“Sebaliknya, kita mahu menyatukan yang lama terpisah demi kebaikan dan kekuatan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program ‘E-Idaman Inspire Supervisory Programme Graduation’,  hari ini. 

Haim Hilman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Inovasi dan Teknologi berkata, realiti politik hari ini menyaksikan orang Melayu bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN), namun sumbangan serta peranan UMNO kepada negara tidak boleh diketepikan.

“Sepatutnya kita mendoakan agar semua pihak lebih maju dan berjaya, bukannya mendoakan agar pihak lain berkubur. Saya sebenarnya suka melihat pemimpin tidak berfikiran sempit dengan mahukan lawan-lawannya berkubur.

“Saya lebih suka melihat lawan-lawan politik yang kuat dan sihat agar ia dapat membina satu proses, kalau tak bersama sebagai gabungan, biarlah ia menjadi blok pembangkang yang kuat dan mantap supaya dapat melaksanakan fungsi semak dan imbang terbaik untuk negara. Itu yang kita perlukan,” ujar beliau.

Tambah Haim Hilman lagi, negara memerlukan kerajaan yang kuat dan pembangkang yang kuat supaya keseimbangan kuasa dapat diwujudkan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa, yang berharap PAS akan ‘terbubar sendiri’ kerana UMNO lebih awal meletakkan Islam di hadapan menerusi pindaan Perlembagaan parti pada 2019.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan pandangan itu ketika mengimbau amanat bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah mencadangkan UMNO dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam.

Pada 2008, Allahyarham Nik Abdul Aziz yang ketika itu Menteri Besar Kelantan dilaporkan mencadangkan UMNO dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baharu berlandaskan Islam untuk menyatukan orang Melayu serta menjadi tempat berlindung semua pihak termasuk bukan Islam.

Dalam pada itu, Haim Hilman berkata, PAS kini semakin terbuka dengan penyertaan golongan teknokrat dan profesional daripada pelbagai latar belakang, bukan hanya dianggotai individu berlatarkan bidang agama.

“Insya-ALLAH, saya yakin PAS akan terus maju dan berkembang. Ramai teknokrat dan golongan profesional dalam PAS hari ini, termasuk saya, malah ada ramai lagi yang bersedia bekerja merentasi agama dan bangsa demi kelangsungan negeri dan negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments