Oleh: Nadzir Helmi
Saya bermula sebagai seorang Ahli Jabatan Amal.
Saya belajar dengan PAS ini bermula dari sangat bawah. Bawah yang bukan bawah biasa. Bawah sungguh.
Saya mengenal PAS dengan mengenal erti turun padang.
Saya mengenal erti usrah.
Saya mengenal erti apa itu perjuangan.
Di lapangan, saya jumpa orang yang paling susah dan saya juga jumpa orang yang paling senang. Itulah rutin kami dalam Jabatan Amal.
Sehinggalah hari ini saya menggalas tanggungjawab yang lebih sukar di peringkat atasan. Namun Jabatan Amal tidak pernah luntur dalam hati saya.
Kerana kita tahu Jabatan Amal adalah kumpulan yang mengajar manusia untuk memahami apa erti amal yang sebenar.
Ya, PAS banyak kelemahan. Banyaknya bukan main main. Tetapi PAS diajar untuk sentiasa mencari kebaikan walaupun lemah, kerana itu adalah sunnah. Alhamdulillah.
Dua hari saya berada dalam program Tamrin dan Jambori Jabatan Amal Malaysia Kawasan Bagi. Duduk dalam hutan, memisahkan diri daripada dunia luar. Berukhuwwah, beramah mesra, bersilaturahim, dan mendengar taujihad.
Ibaratnya saya sedang recharge semula hidup setelah melalui tahun 2025 yang cukup panjang dan berat. Saya bawa pula dua anak lelaki yang kian membesar.
Apa lagi yang saya mahu dalam PAS selain suasana begini yang mengajar saya erti menjadi hamba, dan mengajar saya erti tentang perjuangan yang diperlukan bagi saya sebagai seorang Muslim untuk kebaikan masyarakat, khususnya di Malaysia. Itu sahaja.
Saya ada satu azam. Jika Allah menarik nyawa saya, biarlah ia ditarik dalam keadaan saya masih berjuang.
Masa pulang, saya sebut pada anak anak saya.
“Ziyad, Zuhayr, inilah PAS. Abi nak, membesarlah dalam suasana PAS sampai mati. Sambung perjuangan agama bila kami semua sudah tiada.”
Boleh meratapi kematian kami, tetapi jangan sekali lunturkan perjuangan yang kami bawa, yang dibawa oleh PAS. Kerana kita bukan pemula dan kita bukan pengakhir. Kita hanyalah hamba yang menagih perjuangan ini semata mata untuk kembali bertemu Allah dalam keadaan Dia reda, dan mudah mudahan dalam kalangan ahli syurga.
Selamat mujahadah kepada semua pejuang di luar sana. Doakan kami terus kuat untuk membawa agama ini di tengah tengah masyarakat.

0 Comments