Oleh: Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden
Ahli Parlimen Alor Setar
PN masih wujud. Proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan. Akan ada pelantikan kepimpinan baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Cakap-cakap yang mengatakan PN sudah ‘damage’, PN sedang menuju kehancuran, PN sudah hilang arah, semuanya tidak betul.
Yang melepaskan jawatan hanya beberapa orang sahaja. Kepimpinan yang lain masih ada. Di peringkat pusat, negeri, bahagian/kawasan, masih ada.
Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, masih berjalan seperti biasa. Tiada mana-mana pimpinan BERSATU yang digugurkan atau letak jawatan dalam Kerajaan Negeri.
Dalam kalangan MP PN, hubungan kembali seperti biasa. MP PAS dan MP Bersatu, masing-masing masih saling berhubung, masih respon di dalam group whatsapp. Ada yang hantar mesej peribadi. Ada yang hubungi melalui telefon. Ada yang jemput kenduri, ada yang ucap takziah atas kehilangan ahli keluarga, ada yang berbincang mengenai soalan-soalan untuk sidang Dewan Rakyat sesi akan datang, dan ada juga yang nasihat-menasihati meredakan keadaan.
Riuhlah sekejap sehari dua. Biasalah. Waktu tengah konflik, tengah panas, riuhlah. Pakat meluah rasa, melontar kritikan, memberi pandangan. Tetapi selepas keadaan reda, masing-masing mohon maaf. Ukhuwah bertaut kembali.
Saya sendiri tidak pernah menulis bahawa PN ini akan berkubur. Bahkan, PN ini mesti perlu terus dijaga, diperkasa. Itulah usul Pemuda PAS yang diluluskan dalam Muktamar PAS yang lalu. Harapan rakyat kepada PN terlalu tinggi, setelah harapan mereka kepada Pakatan Harapan berkubur tiada harapan.
Apabila dilontarkan idea PN+MN, nampaknya ramai yang menyokong. Ramai yang berharap agar penyatuan ummah ini benar-benar dapat diusahakan kembali, demi kepentingan Islam dan Melayu yang majoriti, serta memelihara kaum lain yang minoriti.
Tidak dinafikan, satu cara untuk melemahkan PH khasnya DAP, ialah melalui penyatuan ummah. Sekarang mereka naik tocang sebab Melayu Islam tidak bersatu. DAP dan PH akan terus berusaha supaya kita tidak bersatu. Kenapa? Supaya mereka dapat terus berkuasa buat apa sahaja.
Jika wujud penyatuan melalui PN+MN, mereka akan tergugat. Mereka akan hilang semua kuasa yang mereka ada sekarang. Semua tahu perkara ini, lebih-lebih lagi DAP. Mereka ada think-tank, mereka ada kajian akademik dan kajian lapangan. Mereka sedar keadaan ini.
PN sahaja tidak cukup. MN sahaja pun tidak gagah. Perlu kepada PN+MN. Sebab itu sekarang ini semua mata tertumpu kepada PN.
Media-media mainstream semua bincang tentang PN. Buat forum, buat dialog. Panggil orang itu, panggil pakar ini. Media kerajaan sudah tentu disusun naratif untuk bagi persepsi buruk kepada PN. Tapi dalam tak sengaja, ia sebenarnya satu marketing kepada PN.
Waktu PH bergolak sesama sendiri, waktu krisis dalaman PKR, waktu pemimpin DAP bergaduh dengan pemimpin UMNO, tak nampak pula media arus perdana ini buat wacana. Sebab itu bukan sasaran naratif mereka. Naratif mereka ialah lemahkan PN. Dicari sebanyak mungkin kenyataan-kenyataan pemimpin PN yang berbeza, diselongkar apa sahaja perbezaan dan krisis dalaman, itulah yang ditonjolkan. Inilah game mereka. Game media. Game untuk terus hidup dalam arus perdana. Kita tak boleh terheret dengan game ini.
PN akan kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baharu kelak. Insya-Allah. Penyatuan ummah yang sangat diidamkan, pasti akan terbentuk kelak.
Itulah kehendak politik Islam. Politik yang menyatukan, bukan memecah-belahkan. Syaratnya, buang agenda peribadi. Letak agenda ummah paling tinggi.

0 Comments