𝐌𝐔𝐒𝐋𝐈𝐌𝐀𝐓 𝐏𝐀𝐒 𝐒𝐎𝐊𝐎𝐍𝐆 𝐓𝐈𝐓𝐀𝐇 𝐀𝐆𝐎𝐍𝐆, 𝐓𝐎𝐋𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐃𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐋𝐀𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝐀𝐂𝐔𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀

 


Oleh: Ustazah Nuridah Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)

Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong sepenuhnya pandangan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, bahawa sebarang pengiktirafan terhadap sistem pendidikan selain daripada yang sedia ada hendaklah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, serta menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan Sejarah Malaysia sebagai asas pembinaan jati diri bangsa.

Titah Baginda ini amat bertepatan dengan roh Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan tuntutan Islam yang menekankan kepentingan ilmu, identiti serta kefahaman terhadap sejarah sebagai asas pembinaan masyarakat yang berakhlak, bersatu dan berdaulat. Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, bahkan lambang kedaulatan negara serta alat penyatuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

Dewan Muslimat PAS Malaysia juga berpandangan bahawa sistem pendidikan yang kukuh, berteraskan bahasa kebangsaan dan sejarah tanah air, merupakan benteng penting dalam memelihara keharmonian sosial, memperkukuh perpaduan nasional serta membentuk generasi masa depan yang setia kepada negara dan menghormati kontrak sosial.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua pihak agar menjadikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pedoman dan panduan dalam merangka serta melaksanakan dasar pendidikan negara demi kesejahteraan dan masa depan Malaysia.

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta melimpahkan taufik dan hidayah dalam memayungi pemerintahan negara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐮𝐫𝐢𝐝𝐚𝐡 𝐛𝐭 𝐒𝐚𝐥𝐥𝐞𝐡

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)

20 Januari 2026 bersamaan 30 Rejab1447H

Post a Comment

0 Comments