Oleh: Fariiq Amin
Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Dalam dunia kerja teknikal dan krew media, masa bukan sekadar angka pada jam dinding. Masa ialah struktur kerja. Ia menentukan aliran tugas, kesiapsiagaan peralatan, pergerakan krew dan kualiti hasil akhir. Setiap minit yang berubah akan memberi kesan berlapis (domino effect) kepada keseluruhan operasi walaupun perubahan itu kelihatan kecil dari luar.
Krew media sudah terbiasa bekerja jauh lebih awal daripada acara bermula dan tamat kerja lebih lambat – selepas selesai kemas dan simpan segala peralatan. Kamera siap dipasang sebelum tetamu kehormat tiba, audio diuji sebelum mikrofon digunakan dan lampu disusun rapi sebelum pentas diterangi. Dalam proses kritikal ini, disiplin masa bukan satu pilihan tetapi keperluan asas. Namun, realiti yang sering berlaku ialah apabila ketua unit atau ketua jabatan hadir lewat atau apabila masa mesyuarat dan atur cara dianjak tanpa kejelasan, beban perubahan itu hampir selalu ditanggung sepenuhnya oleh krew teknikal di belakang tabir.
Isu ini jarang dibincangkan secara terbuka kerana krew media lazimnya bersifat profesional dan adaptif. Mereka terlatih untuk menyesuaikan jadual, mempercepatkan persediaan dan mencari jalan supaya tugasan tetap berjalan lancar walau apa jua halangan. Namun dalam diam, mereka memerhati. Mereka menilai bukan untuk menghukum tetapi untuk memahami bagaimana kepimpinan sebenar berfungsi dalam situasi nyata dan mendesak.
Disiplin masa dalam konteks ini bukan sekadar soal kelewatan teknikal. Ia adalah isyarat kepimpinan yang paling jelas. Apabila masa dipandang ringan oleh pemegang jawatan, mesej senyap yang sampai kepada krew ialah: perancangan boleh diubah sesuka hati dan usaha persediaan awal dianggap tidak penting. Lama-kelamaan, mesej ini membentuk budaya kerja yang longgar. Bukan kerana krew tidak komited tetapi kerana contoh yang diterima setiap hari mengizinkan kelonggaran tersebut.
Dalam kerja media, arahan bertulis dan alur kerja (flow) rasmi sering tewas kepada realiti lapangan. Apa yang lebih berpengaruh ialah tingkah laku ketua. Seperti yang sering ditekankan oleh John C. Maxwell, kepimpinan pada asasnya ialah pengaruh. Pengaruh tidak datang daripada jawatan tetapi daripada konsistensi tindakan. Ketua yang menepati masa sedang menghantar isyarat bahawa perancangan dihormati dan tenaga krew dihargai.
Kaitan antara disiplin masa dan amanah juga sangat jelas dalam operasi teknikal. Setiap perubahan masa memberi implikasi kepada tenaga manusia, penggunaan aset kerajaan dan keselamatan operasi. Dalam perspektif Islam, amanah bukan hanya berkaitan tugas besar tetapi juga perkara 'remeh' yang memberi kesan kepada orang lain. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Ahzab ayat 72 bahawa amanah itu berat dan dipikul oleh manusia dengan tanggungjawab yang besar. Masa orang lain yang tidak dijaga adalah sebahagian daripada amanah yang sering terlepas pandang.
Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Dalam konteks kerja media, kepimpinan tidak terhad kepada keputusan editorial atau strategi komunikasi semata-mata tetapi juga merangkumi bagaimana masa krew diurus dan dihormati. Krew yang dihargai masanya akan bekerja dengan lebih fokus dan tenang, bukan kerana dipaksa tetapi kerana mereka rasa difahami oleh ketua mereka.
Disiplin diri menjadi asas kepada semua ini. Tokoh pengurusan, Stephen R. Covey menegaskan bahawa keberkesanan bermula dengan keupayaan mengurus diri sendiri (personal management). Ketua yang gagal mengurus masa sendiri pasti sukar untuk membina sistem kerja yang teratur untuk pasukannya. Sebaliknya, ketua yang konsisten menjaga masa sedang membina kredibiliti tanpa perlu banyak penjelasan lisan.
Satu prinsip yang sering terpinggir dalam kesibukan kerja teknikal ialah hubungan antara disiplin rohani dan profesional. Jika kita mampu menjaga waktu solat di awal waktu, insya-Allah Allah akan menjaga masa kita dalam urusan yang lain. Prinsip ini sangat dekat dengan realiti krew media. Solat awal waktu melatih ketepatan, perancangan dan kejelasan keutamaan (priority). Nilai yang sama inilah yang diperlukan di lapangan media yang menuntut ketepatan saat dan kesiapsiagaan tinggi.
Dalam kajian tentang organisasi berprestasi tinggi, Jim Collins menyebut bahawa kepimpinan yang paling berkesan selalunya bersifat senyap, konsisten dan rendah profil. Dalam dunia media, kepimpinan seperti inilah yang paling dihormati. Ketua yang datang awal, memberi ruang persediaan yang cukup dan memahami aliran kerja teknikal sedang membina budaya profesional tanpa perlu menegur atau mengarah secara berlebihan.
Penulisan ini tidak bertujuan menyalahkan mana-mana pihak. Ia lahir daripada realiti kerja krew media yang sentiasa bersedia menyesuaikan diri. Namun, kesedaran tentang kesan senyap disiplin masa boleh membantu organisasi membina budaya kerja yang lebih adil dan berkesan.
Akhirnya, setiap ketua wajar bertanya kepada diri sendiri satu soalan mudah sebelum memulakan tugas hari ini: Dalam dunia kerja teknikal dan media yang pantas ini, adakah pengurusan masa kita sedang memudahkan kerja orang lain atau tanpa sedar kita sedang menyusahkan mereka yang bekerja senyap di belakang tabir?

0 Comments