Penjelasan Isu Pelanggaran Displin Parti 3 ADUN PAS di Negeri Perlis

 


1. Pertamanya, saya mengajak semua pihak untuk berfikir secara rasional tanpa dikuasai emosi serta melihat isu ini dari sudut disiplin dan prinsip perjuangan parti.

2. Dalam PAS, tempat kita meletakkan ketaatan (taat) dan kepercayaan (thiqah) adalah kepada PAS Pusat dan Tuan Guru Presiden PAS. Apabila satu keputusan telah dikeluarkan oleh PAS Pusat, sama ada kita suka atau tidak, setuju atau tidak, maka wajib ke atas kita untuk mematuhinya. Inilah asas jamaah.

3. Kemelut yang melibatkan tiga orang ADUN PAS yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar Perlis tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi. Jika mereka memaklumkan kepada parti berkaitan ada usaha ini, saya yakin PAS Pusat tidak akan ambil tindakan.

4. Sekiranya mereka merasakan tindakan tersebut adalah satu bentuk “kebenaran”, maka hakikatnya mereka gagal memahami lafaz baiah yang telah dilafazkan ketika menerima amanah sebagai ADUN. Baiah bukan sekadar lafaz, tetapi satu ikatan ketaatan kepada perjuangan dan kepimpinan parti. Saya juga turut melafazkan Bai'ah sebagai ADUN.

5. Sekiranya SD tersebut tidak ditandatangani, saya yakin ruang perbincangan dan islah masih terbuka luas untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman. Namun, tindakan tiga ADUN ini yang bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri dengan menandatangani SD tersebut telah melangkaui batas disiplin jamaah.

6. Saya sendiri adalah antara ADUN yang dijemput untuk menandatangani SD tersebut oleh seorang individu yang bertindak sebagai “broker”. Sebagai seorang ADUN yang dipilih oleh jamaah, adab dan prinsip saya adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri. Setelah mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terlibat, kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi.

7. Pada malam keputusan Mesyuarat PAS Pusat yang memutuskan terhentinya keahlian tiga ADUN tersebut, air mata saya mengalir mengenangkan detik perjuangan bersama. Saya pernah bersama  bersama Haji Saad di PAS Kawasan Padang Besar, bersama Ustaz Ridzuan dalam Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, dan Ustaz Fakhrul yang saya anggap seperti abang sendiri.

8. Namun, disiplin parti tidak boleh diselaputi oleh emosi. Pengkhianatan tetap pengkhianatan. Tindakan ini perlu dijadikan pengajaran besar kepada seluruh ahli PAS, bukan sahaja di Perlis tetapi di seluruh negara.

9. Ketegasan PAS ini juga akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, khususnya dalam memastikan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis terus terpelihara. Apa yang penting adalah menjaga keyakinan rakyat terhadap PAS.

10. Berkaitan tindakan PAS Pusat, pada pandangan saya, PAS Pusat telah membuat keputusan yang sangat tepat, melalui proses yang adil dan berintegriti, termasuk memberi ruang kepada tiga ADUN ini untuk bersoal jawab secara langsung dengan PAS Pusat. Saya sendiri hadir dalam pertemuan tersebut sebagai saksi.

11. Jika masih ada pihak yang cuba mengungkit kelemahan mantan Menteri Besar ketika beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis sebagai punca kepada isu ini, persoalannya mengapa masih mahu membangkitkan perkara tersebut sedangkan PAS Pusat telah membuat perubahan kepimpinan?

12. Pesuruhjaya PAS Negeri telah ditukar, dan bahkan cadangan ahli Badan Perhubungan untuk tidak melantik YB Cikgu Shukri sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis juga telah diambil kira dan ditunaikan oleh Tuan Guru Pesuruhjaya PAS Perlis.

13. Maka, pandangan saya jelas,

Usahlah terus menimbulkan isu-isu yang bercanggah dengan keputusan PAS Pusat dan kenyataan rasmi Tuan Guru Presiden PAS. Memang saya akan terus menjawab kepada pihak yang cuba menimbulkan naratif bertentangan dengan PAS Pusat.

14. Marilah kita kembali meletakkan TAAT dan THIQAH sepenuhnya kepada kepimpinan jamaah. InsyaAllah, perjuangan ini akan terus dipelihara dan diberkati.

15. Soal ukhuwah diluar diantara 3 ADUN yang telah terhenti ahli ini tiada masalah kerana paling kurang mereka adalah saudara seislam.


YB Haziq Asyraf Dun
Ketua Pemuda PAS Perlis
ADUN Beseri

#KembalikepadapenyelesaianIslam
#PerliskuBestariBerkatLestari
#perliskubestarirakyatsejahtera

Post a Comment

0 Comments