Krisis Perlis & Kesungguhan PAS Menjadi Parti Masa Hadapan Malaysia



Perlis adalah negeri penting dalam misi & perancangan besar PAS untuk menjadi parti teras utama Malaysia.

Tindakan tegas yang diambil terhadap 3 ADUN yang terlibat dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar adalah bukti ketegasan dan disiplin tinggi PAS terhadap pemimpinnya.
Natijah dari tindakan tersebut bukan terhadap 3 ADUN itu sahaja tetapi kepada semua ADUN dan ahli parlimen PAS agar sentiasa kembali kepada kepimpinan parti dalam menangani apa juga isu terutama sekali isu-isu besar.
Dalam PAS semua memahami bahawa ADUN, ahli parlimen dan kepimpinan di setiap peringkat (pusat hingga cawangan) hatta ahli biasa tidak dibentuk mengikut sentimen dan emosi tetapi proses tarbiyah berteras Al Quran & sunnah yang panjang.
Krisis Perlis ini diharap memperkukuhkan lagi kepercayaan ahli PAS, penyokong PAS dan mereka yang berada di atas pagar kerana dapat melihat sebuah parti yang tegas dan berdisiplin itu ada pada PAS. Namun begitu krisis ini juga tidak boleh lari dari serangan parti lawan dan mereka yang membenci PAS.
Tindakan Menteri Besar Perlis melepaskan jawatan adalah satu contoh akan kejayaan tarbiyah PAS kepada ahlinya. Dalam PAS jawatan bukanlah kelebihan & kebanggaan tetapi amanah yang sangat berat.
Ketenangan YB Mohd Shukri Ramli yang mesra dipanggil Cikgu Shukri melepaskan kerusi no 1 Perlis tanpa sebarang kata-kata yang sarat dengan api kemarahan, kebencian & kekecewaan amat jelas menunjukkan jiwa besar dan sifat tawadduk beliau yang lahir dari 'sekolah politik' dan tarbiyah PAS.
Kepada rakyat Malaysia, PAS tidak mengajar ahlinya mengejar jawatan dan PAS tidak mengajar pemimpinnya mencintai jawatan.
Sesungguhnya PAS mengajar pemimpinnya takut dengan amanah yang dipikul dan di masa sama menuntut mereka tekun berkhidmat untuk rakyat. Setiap pemimpin PAS wajib memimpin secara adil tanpa mengira latar belakang agama & bangsa akan rakyat yang dipimpinnya. Kewajiban ini bukan kerana PAS tetapi demi menjaga kesucian dan kemulian agama Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Islam for All.
PAS juga tidak mengajar pemimpinnya mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang baik untuk diri, keluarga, kenalan mahupun parti kerana PAS mengetahui sifat-sifat buruk itu akan menghancurkan iaitu bukan sahaja terhadap pemimpin itu tetapi parti dan kerajaan.
PAS sedar bahawasanya hari ini rakyat khususnya orang muda tercari-cari sosok-sosok yang benar-benar ikhlas, bersih dan berwawasan. Atas kefahaman itulah hari ini PAS menonjolkan lebih ramai agamawan dan profesional yang bersih, progresif dan berwawasan.
Perjuangan PAS dalam politik bukan hanya untuk mentadbir & memajukan Malaysia tetapi menjadikan Malaysia tunggak utama kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serantau dan antarabangsa.
PAS menawarkan agamawan dan profesional yang mendapat pendedahan pendidikan dari universiti di dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang strategik & kritikal. Ini jelas menunjukkan kesungguhan PAS untuk memberi tawaran terbaik buat Malaysia.
Ayuh seluruh rakyat Malaysia, dekati dan kenalilah PAS dengan lebih baik & akrab. PAS komited dalam membina Malaysia yang lebih adil, progresif & maju.

Oleh: Dr Haim Hilman

Post a Comment

0 Comments