Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah sedia mempertimbangkan untuk menjadikan ‘Kedah Powerboat World Championship 2026’ sebagai acara tahunan susulan sambutan positif pelumba antarabangsa mahupun tempatan terhadap keunikan litar perlumbaan di Sungai Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, hasrat itu turut mendapat komitmen pelumba yang menyatakan minat untuk kembali menyertai kejohanan berkenaan sekiranya dianjurkan lagi pada masa hadapan.
Menurut beliau, majoriti peserta yang menyertai edisi sulung 2026 itu pertama kali menjejakkan kaki ke Kedah, sekali gus membuka peluang mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa.
“Syukur, hasrat kita untuk merealisasikan perlumbaan bot laju berkuasa tinggi di Sungai Kedah akhirnya menjadi kenyataan. Ini perkembangan cukup bermakna kepada sektor pelancongan negeri.
“Lebih membanggakan, walaupun ini penganjuran pertama di Kedah, kita berjaya menghimpunkan 17 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia. Ini memperlihatkan keyakinan komuniti sukan pemotoran air terhadap kemampuan Kedah menganjurkan acara seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan perlumbaan pusingan pertama kejohanan bagi kategori T750 dan F3000 di Sungai Kedah berhampiran Taman Rekreasi Ampang Jajar, di sini, hari ini.
Kejohanan yang bermula pada Khamis sehingga Sabtu itu disertai pelumba elit tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Finland, India dan Jepun.
Mohd Salleh berkata, penganjuran perlumbaan bot laju di sungai merupakan pengalaman pertama seumpamanya di negara ini, sekali gus menawarkan kelainan berbanding lokasi perlumbaan lazim seperti muara, tasik dan laut.
“Rakyat Kedah perlu merasa bangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Tambah beliau, maklum balas positif pelumba yang mempunyai jaringan hubungan antarabangsa juga mampu membantu mempromosikan Kedah kepada komuniti sukan pemotoran air di seluruh dunia.
“Mereka mempunyai hubungan dengan pelumba lain di seluruh dunia dan akan mewar-warkan pengalaman mereka di Kedah.
“Semasa saya berbual dengan pelumba-pelumba, kebanyakannya pertama kali datang ke Kedah. Mereka memuji negeri kita dan mereka sendiri menyatakan hasrat mahu program ini dijadikan acara tahunan,” katanya.
Mohd Salleh tegaskan, penganjuran acara mega seperti itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakannya.
“Bagi mencapai kejayaan lebih besar, kita tidak boleh bergerak sendirian. Kerjasama pelbagai pihak penting kerana melalui usaha bersama, kita mampu mencipta sejarah dan kejayaan lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, sukan bot laju masih baharu di Kedah dan penganjuran kali ini menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari kejohanan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Bot Laju Malaysia, Ezzat Mohd Tahir berkata, penggunaan sungai sebagai litar perlumbaan memberikan cabaran berbeza kepada peserta yang lazimnya beraksi di kawasan lebih luas seperti muara, tasik dan laut.
Katanya, pelumba yang biasanya mampu memecut antara 180 hingga 200 kilometer sejam (km/j) perlu mengurangkan kelajuan kepada sekitar 160 km/j ketika beraksi di Sungai Kedah yang lebih sempit dan pendek.
“Keadaan litar menyebabkan pelumba perlu menyesuaikan beberapa komponen bot bagi memastikan jentera dapat beraksi dengan baik.
“Setakat ini, sesi latihan semalam dan perlumbaan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan serius. Ada berlaku pelanggaran kecil sahaja berikutan keadaan sungai yang agak sempit,” katanya.
Ezzat yang juga salah seorang pelumba kejohanan berkata, penggunaan sungai sebagai litar perlumbaan merupakan tarikan unik yang berpotensi merancakkan lagi penganjuran acara sukan pemotoran air serta program pelancongan di negeri ini.

0 Comments