Oleh: Roslinda Hashim
PENDANG - Kapasiti pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru meningkat sekali ganda kepada 110 juta liter sehari (MLD) selepas siapnya proses naik taraf bernilai RM156.85 juta, yang memberi manfaat kepada 36,850 akaun pengguna di empat daerah di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peningkatan kapasiti itu hasil pengoperasian LRA Jenun Baru yang mempunyai keupayaan pengeluaran 55 MLD, sama seperti LRA Jenun sedia ada.
Beliau berkata, projek berkenaan penting bagi memperkukuh sistem bekalan air, khususnya untuk memenuhi keperluan penduduk di daerah Pendang, Yan, Kuala Muda dan sebahagian Kota Setar.
“Daripada keseluruhan akaun pengguna, sebanyak 17,700 akaun melibatkan kawasan Yan dan sebahagian Kota Setar, diikuti 15,300 akaun di Pendang serta 3,850 akaun di Kuala Muda,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf LRA Jenun Baru di sini, hari ini.
Sanusi berkata, peningkatan kapasiti itu dijangka membantu mengatasi masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang sekian lama menjadi igauan penduduk, terutama yang tinggal di kawasan hujung rangkaian paip.
"Kerajaan Negeri memahami penduduk di daerah terlibat yang sekian lama berhadapan masalah gangguan bekalan.
"Kita tidak memandang ringan kesusahan ini. Bagi orang yang tidak mengalaminya, mungkin nampak kecil, tetapi bagi keluarga yang terpaksa berhadapan keadaan itu setiap hari, itulah kesusahan sebenar," katanya.
Beliau berkata, projek bernilai RM156,855,460 itu turut melibatkan pembinaan rangkaian paip sepanjang 46.8 kilometer bagi memperluas keupayaan agihan bekalan air kepada pengguna.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek itu berdepan beberapa kekangan sehingga memerlukan sembilan kali lanjutan masa (EOT), dengan EOT terkini pada 31 Oktober 2026 berbanding tarikh siap asal pada 2 Disember 2023.
"Ada sedikit masalah melibatkan kos yang tinggi dan proses yang agak rumit, terutama kerja-kerja pemasangan paip. Saya harap ia dapat disiapkan. Apabila ada masalah, kita perlu selesaikan dan bukannya sengaja melambat-lambatkan projek," katanya.
Sanusi turut menegaskan kelewatan projek tidak sepatutnya dijadikan modal politik kerana pelaksanaan projek infrastruktur melibatkan pelbagai proses dan cabaran teknikal yang perlu diselesaikan.
Menurutnya, pelantikan kontraktor dibuat menerusi tender terbuka dan antara kelemahan kaedah itu ialah terdapat kontraktor mengemukakan tawaran harga terlalu rendah, namun akhirnya gagal melaksanakan projek mengikut kemampuan sebenar.
“Kontraktor bukan kita lantik, bila dia tak boleh buat, jadi macam ni lah, diberikan EOT hingga siap,” katanya.
Tambah beliau, penamatan kontrak bagi projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau telah dibuat selepas kontraktor didapati tidak mempunyai keupayaan mencukupi untuk melaksanakannya.
“Jika gagal laksana, perlu ‘terminate’. Ada proses-prosesnya, saya harap projek-projek lain dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi memaklumkan, tiga projek LRA, iaitu Jenun Baru, Lubuk Buntar dan Pelubang berjaya disiapkan sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem bekalan air.
Katanya, sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2020, penambahbaikan infrastruktur bekalan air diberikan perhatian serius kerana ia merupakan keperluan asas yang mempengaruhi kehidupan serta kegiatan ekonomi rakyat.
"Air adalah keperluan hidup dan apabila bekalan terganggu, seluruh kehidupan rakyat boleh terjejas. Pembangunan bukan sekadar membina sesuatu yang boleh dilihat, tetapi membina sesuatu yang dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat.
“Penyelesaian masalah ini memerlukan perancangan, peruntukan, kerja teknikal dan pelaksanaan projek yang mengambil masa.
“Kita juga berhadapan pandemik Covid-19 ketika itu, diikuti bekalan bahan binaan dan kenaikan harga bahan serta kos pembinaan. Semua ini beri kesan kepada jadual pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau berharap kemudahan ini dapat diurus dan diselenggara dengan baik supaya manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh panjang.
Antara kawasan yang menerima manfaat LRA Jenun Baru, di daerah Yan dan Kota Setar (Yan Besar, Kampung Ruat, Bukit Besar, Simpang Empat, Tandop, Teluk Bagan dan Teluk Bagan Hujung).
Di daerah Pendang (Kampung Bukit Kechik, Charuk Kudong, Guar Kepayang, Pekan Pendang, Padang Pusing, Hospital Pendang, Air Putih dan Bukit Raya), sementara Kuala Muda (Kawasan Perindustrian PKNK Gurun, kawasan Rehat dan Rawat Gurun di Lebuh Raya PLUS arah utara dan selatan, Pekan Gurun, Taman Murni, Taman Sri Utama, Taman Suria, Kampung Panjang, Kampung Kilang Ketapan).
LRA JENUN BARU
Kapasiti: (55 MLD meningkat kepada 110 MLD)
Kos projek: RM156,855,460
Paip: 46.8 km
Tarikh siap asal : 02.12.2023
EOT: 9 kali (bermula 04.04.2024 - 31.10.2026)

0 Comments