GRADUAN JANGAN SEKADAR CARI KERJA, CIPTA PELUANG BAHARU SELARI PERUBAHAN DUNIA

 


Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA KETIL - Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya hanya bergantung kepada kelayakan akademik untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya perlu berani mencipta peluang baharu mendepani perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkembangan pesat teknologi, ekonomi dan AI membuka ruang baharu, namun pada masa sama menuntut graduan meningkatkan ilmu, kemahiran serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Menurutnya, ijazah dalam genggaman bukanlah penamat perjalanan akademik, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk terus belajar, meneroka peluang dan membina masa depan.

"Graduan perlu berani hadapi perubahan serta memiliki ketahanan mental dan emosi. Jangan hanya bergantung kepada kelayakan akademik, tetapi terus tingkatkan kemahiran dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Usaha ini penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu memperoleh pekerjaan, tetapi juga mencipta peluang dan menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kali ke-28 di sini, hari ini.

Sanusi yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti (LPU) UniSHAMS berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah graduan negara meningkat kepada 5.98 juta orang pada 2024, manakala kadar pengangguran graduan menurun daripada 3.4 peratus pada 2023 kepada 3.2 peratus pada 2024.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan pasaran pekerjaan yang semakin positif, namun graduan perlu memahami bahawa kejayaan tidak hanya bergantung kepada kelayakan atau jumlah pendapatan.

Tambah beliau, data DOSM juga menunjukkan purata gaji bulanan graduan pada 2024 ialah RM5,330, manakala gaji median RM4,521.

“Bagi keseluruhan pekerja warganegara Malaysia pada 2025, purata gaji dan upah bulanan RM3,803, dengan gaji median RM2,940. Sementara, kadar gaji minimum negara RM2,500 sebulan. 

"Ini menunjukkan pendapatan dipengaruhi oleh kelayakan, kemahiran dan pengalaman. Namun, kejayaan bukan sekadar diukur melalui gaji, tetapi juga sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Sanusi mengingatkan graduan supaya berpegang kepada tiga nilai utama, iaitu kesediaan untuk terus belajar, tabah menghadapi cabaran dan berani meneroka peluang baharu.

“Ketiga-tiga nilai ini menjadi asas untuk hadapi perubahan, membina kejayaan dan mencipta masa depan lebih bermakna.

“Graduan adalah aset penting negara. Ilmu yang diperoleh bukan untuk kebanggaan diri, sebaliknya amanah yang perlu dimanfaatkan bagi membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau tegaskan, peningkatan kualiti dan kebolehpasaran graduan terus menjadi keutamaan UniSHAMS melalui pemerkasaan kurikulum, kemahiran digital dan insaniah serta kerjasama industri. 

“Peningkatan Kadar Kebolehpasaran Graduan UniSHAMS dari 87 peratus pada tahun 2024 kepada 95 peratus tahun 2025 amat membanggakan, selari dengan usaha berterusan universiti memperkasa pembangunan potensi, meningkatkan kebolehpasaran serta memperkukuh kemenjadian pelajar secara holistik.  

“Usaha ini penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu memperoleh pekerjaan, tetapi mencipta peluang dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berharap UniSHAMS terus memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa bagi melahirkan graduan yang kompetitif serta mampu memenuhi keperluan masa depan.

“UniSHAMS perlu menjadikan QS World University Rankings dan UI GreenMetric Sustainable University Rankings sebagai pemangkin meningkatkan kualiti, pengiktirafan global dan kelestarian kampus. 

“Saya juga harap UniSHAMS terus berkembang sebagai sebuah universiti Islam antarabangsa yang unggul, kompetitif dan berdikari. 

“Kecemerlangan ini perlu dibina melalui tadbir urus berkesan, pengukuhan keupayaan institusi, kualiti akademik dan penyelidikan relevan, serta kerjasama erat antara kepimpinan, warga universiti, industri dan masyarakat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments