PAS MERBOK TERLUKA: PENGORBANAN DIBALAS DENGAN PENGKHIANATAN

 


Oleh: Penerangan PAS Kawasan Merbok

Keputusan enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Kerajaan MADANI merupakan satu tamparan hebat kepada penyokong Perikatan Nasional. Lebih menyedihkan, tiga daripada mereka ialah wakil rakyat dari Kedah, termasuk Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan.

Saudara Nazri, lupakah saudara bagaimana kerusi Parlimen Merbok itu diperoleh?

Siapakah yang berpanas dan berhujan? Siapakah yang berkempen siang dan malam? Siapakah yang mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit demi memastikan saudara bergelar Ahli Parlimen?

Jentera PAS Merbok bukan bekerja sehari dua. Mereka berjuang dengan penuh kesungguhan, mengetuk pintu rumah pengundi, memasang bendera, mengedarkan bahan kempen dan mempertahankan perjuangan sehingga saat akhir.

Namun, apakah balasan terhadap segala pengorbanan tersebut?

Apabila keputusan politik dibuat untuk menyokong kerajaan yang selama ini menjadi lawan politik, jentera yang pernah mengangkat saudara ke Parlimen seolah-olah tidak lagi penting.

Jangan sesekali menganggap kemenangan itu hasil kehebatan individu semata-mata. Di sebalik setiap kemenangan, ada ribuan tangan yang bekerja, keluarga yang berkorban dan pejuang yang meletakkan kepercayaan.

PAS Merbok berhak mempersoalkan:

Apakah prinsip perjuangan kini boleh ditukar ganti dengan kepentingan politik? Apakah amanah pengundi begitu mudah diketepikan?

Saudara Nazri, kerusi Parlimen Merbok bukan saudara bawa dari rumah sendiri. Kerusi itu dibina atas keringat dan pengorbanan jentera PAS yang meletakkan kepercayaan kepada saudara.

Mereka terdiri daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang dahulu mengangkat saudara menjadi wakil rakyat. Namun, hari ini, merekalah yang paling terluka dengan tindakan saudara.

Pengorbanan mereka tidak seharusnya dilupakan, apatah lagi diketepikan apabila keputusan politik dibuat.

Post a Comment

0 Comments