LIMA LRA DIJANGKA TINGKATKAN RIZAB MARGIN BEKALAN AIR KEDAH 12 PERATUS

 


Oleh: Roslinda Hashim 

PENDANG - Rizab margin bekalan air di Kedah dijangka meningkat apabila kesemua lima loji rawatan air (LRA) yang dinaik taraf siap dan mula beroperasi, berbanding paras sifar ketika ini.  

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, apabila kesemua lima LRA berkenaan siap, Kedah dijangka mempunyai 12 peratus simpanan.

Menurutnya, pertambahan kapasiti pengeluaran air menerusi kesemua projek berkenaan akan memperkukuh keupayaan negeri menyediakan bekalan air terawat bagi memenuhi permintaan pengguna.

"Saya harap dengan siapnya LRA Jenun Baru ini, ia dapat membantu meningkatkan rizab margin bekalan air di Kedah.

"Sebelum ini rizab margin kita dikatakan kosong, tetapi apabila siap lima LRA, kita akan mempunyai 12 peratus," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf LRA Jenun Baru di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan kapasiti bekalan air perlu dilaksanakan secara berterusan memandangkan permintaan baharu dan pembangunan infrastruktur akan terus berlaku dari semasa ke semasa.

Katanya, penyiapan kesemua LRA berkenaan bukan bermakna kapasiti bekalan air negeri akan kekal pada tahap sama kerana penambahan kemudahan baharu akan terus dilakukan mengikut keperluan.

“Dari semasa ke semasa akan ada permintaan baru, akan ada infrastruktur baru. Ia berlaku secara berterusan, bukanlah sentiasa berada pada takuk yang sama. 

“Selepas ini, projek-projek lain pula akan siap dan ada pertambahan kepada kemudahan bekalan air kita," katanya.

Setakat ini, tiga LRA, iaitu LRA Jenun Baru, Lubuk Buntar dan Pelubang sudah siap, sementara dua lagi LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau dalam proses tender semula.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dilaporkan berkata, Kedah tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat apabila rizab marginnya dikesan berada pada paras sifar berikutan masalah tekanan air dan kekurangan infrastruktur.

Keadaan itu turut menyebabkan permintaan bekalan air tidak dapat dipenuhi sepenuhnya.

Perkara itu dibangkitkan beliau ketika bergelar Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebelum ini.

Beliau juga meminta Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) melaksanakan perancangan bagi meningkatkan rizab margin kepada 15 peratus seperti ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Usaha berkenaan antaranya dilaksanakan menerusi pembinaan LRA baharu serta menaik taraf loji rawatan air sedia ada.

Post a Comment

0 Comments