ZARA, FARIS DAN IRENE:

 


APA LAGI YANG KERAJAAN BELUM PELAJARI?

Oleh: Dr. Yusfarizal Yussoff
Peguam
Ketua Penerangan PAS Selangor

Pada 5 Oktober, dunia menyambut World Teachers’ Day atau Hari Guru Sedunia. Hari untuk menghargai guru dan mengiktiraf institusi pendidikan sebagai tempat membina ilmu, akhlak dan masa depan generasi.

Namun, ketika kita meraikan dunia pendidikan, kita berdepan satu persoalan yang semakin meresahkan: adakah sekolah dan institusi pendidikan kita benar-benar selamat untuk anak-anak?

Kita masih mengingati tragedi Zara Qairina.

Minggu lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Kuala Pilah sebelum disahkan meninggal dunia. 

Irene Sofiya, pelajar berusia 16 tahun pula ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah di Yong Peng.

Polis sedang menyiasat kes-kes ini dan kita tidak seharusnya mendahului hasil siasatan.

Dalam institusi tahfiz juga, persoalan keselamatan dan kebajikan pelajar bukan perkara baharu. Kes kematian Wan Ahmad Faris di sebuah sekolah agama di Kelantan pada 2013, yang kemudiannya diputuskan sebagai pembunuhan oleh Mahkamah Koroner pada 2016, terus menjadi peringatan betapa pentingnya kebenaran dan keadilan untuk keluarga mangsa.

Sekolah harian, sekolah berasrama dan institusi tahfiz - nama dan sistemnya berbeza, tetapi tanggungjawab melindungi anak-anak tetap sama.

Kita tidak boleh hanya menumpukan perhatian selepas tragedi berlaku. Keselamatan institusi pendidikan memerlukan pemantauan yang berkesan, pengawasan asrama yang bertanggungjawab, tindakan terhadap aduan, prosedur pelaporan yang selamat serta akauntabiliti apabila berlaku kecuaian.

Lebih penting, kita perlu berani bercakap tentang kesihatan mental dan kesejahteraan emosi anak-anak. Tekanan rakan sebaya, budaya membuli, penghinaan, pengasingan sosial dan ketakutan untuk mengadu tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa dalam proses membesar. 

Murid mesti mempunyai ruang yang selamat untuk mendapatkan bantuan, manakala guru, warden dan kaunselor perlu diberikan sokongan serta sumber mencukupi untuk bertindak.

Kita tidak boleh menganggap setiap tragedi berpunca daripada buli atau masalah kesihatan mental. Itu perlu dibuktikan melalui siasatan dan penilaian sewajarnya. 

Namun, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap keperluan membina sistem pendidikan yang bukan sahaja mendidik, tetapi turut melindungi fizikal dan emosi setiap pelajar.

Menghargai guru pada Hari Guru Sedunia bukan sekadar memberikan ucapan atau mengangkat jasa mereka. Ia juga bermaksud memastikan guru dapat menjalankan tugas dalam persekitaran selamat, dengan sistem yang berfungsi dan sokongan yang sewajarnya.

Kerajaan dan Kementerian Pendidikan mesti memberikan jawapan yang jelas: apakah kelemahan yang telah dikenal pasti daripada kes-kes terdahulu, apakah pembaikan yang telah dilaksanakan, dan bagaimana keberkesanannya dipantau? 

Institusi pendidikan agama juga mesti tertakluk kepada standard keselamatan, kebajikan dan perlindungan pelajar yang sewajarnya.

Selepas kes Zara, selepas tragedi pelajar di Kuala Pilah minggu lalu, dan kini kes Irene - adakah kerajaan masih belum belajar tentang keselamatan institusi pendidikan?

Jangan sampai setiap tragedi hanya menghasilkan kenyataan takziah, arahan siasatan dan janji untuk melakukan semakan. 

Anak-anak kita bukan angka dalam statistik. Mereka ialah amanah keluarga, masyarakat dan negara.

Jangan tunggu seorang lagi anak menjadi korban sebelum kita benar-benar berubah.

NOTA ADDENDUM:-

Saya juga tidak boleh melupakan tragedi Yap Shing Xuen, pelajar berusia 16 tahun yang maut ditikam oleh rakan sekolahnya di tandas sebuah sekolah di Bandar Utama pada Oktober 2025. Lebih memilukan, ibunya mendakwa anaknya mengalami sekitar 200 tikaman, walaupun angka tepat itu belum disahkan polis ketika laporan dibuat. Satu tragedi yang amat menyayat hati dan tidak sepatutnya dilupakan.

Post a Comment

0 Comments