PENGARUH ALAM MAYA ROSAKKAN JIWA REMAJA

 


ANTARA PUNCA KEGANASAN DINORMALISASI DALAM SENYAP

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Pengaruh kandungan ganas di alam maya yang ditonton berulang kali tanpa kawalan tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menormalisasikan keganasan dalam kalangan remaja.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, situasi itu amat membimbangkan ketika masyarakat berdepan peningkatan kes keganasan dan jenayah membabitkan pelajar serta remaja.

Menurut beliau, kesalahan pelajar kini bukan lagi sekadar ponteng sekolah, melompat pagar atau masalah disiplin biasa, sebaliknya semakin serius melibatkan buli, keganasan dan jenayah berat sehingga kehilangan nyawa.

“Apa sebenarnya sedang berlaku kepada jiwa anak-anak kita?

“Puncanya tentu pelbagai. Namun, antara faktor yang tidak boleh dipandang ringan ialah pengaruh luar yang masuk melalui alam maya,” katanya.

Ahmad berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah pengaruh luar yang memasuki kehidupan anak-anak melalui alam maya, termasuk filem, video dan permainan digital yang sarat unsur pembunuhan, peperangan serta keganasan.

“Jika ditonton tanpa kawalan, kandungan seperti ini boleh mempengaruhi cara remaja melihat kekerasan, kematian dan kehidupan manusia.

“Lebih membimbangkan, pengaruh itu perlahan-lahan mematikan rasa belas kasihan, menumpulkan sensitiviti terhadap penderitaan, menyuburkan kemarahan dan dendam serta menormalisasikan keganasan,” katanya.

Tambah beliau, sekolah dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik serta mengawal disiplin anak-anak, namun usaha itu berdepan cabaran besar apabila mereka berada di luar rumah dan sekolah.

Katanya, alam maya kini menjadi satu lagi ancaman terbuka melalui telefon pintar dan peranti digital.

“Sekolah berusaha mendidik dan mengawal disiplin. Ibu bapa menjaga anak-anak penuh kasih sayang. Namun, ketika di luar sekolah dan rumah, ada satu lagi ‘dunia’ terbuka di hadapan mereka, iaitu dunia tanpa sempadan di hujung jari,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu turut ibaratkan situasi itu seperti analogi yang pernah dikemukakan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kebun yang sudah dijaga dengan merumput, membaja dan meracun, tetapi masih terdedah kepada ancaman sekiranya dikelilingi hutan belantara yang penuh makhluk perosak.

“Begitulah keadaan anak-anak kita hari ini. Sekolah dan keluarga berusaha menjadi kebun yang baik, tetapi ‘makhluk perosak’ boleh masuk melalui alam maya.

“Ia tidak datang dalam bentuk tubuh kasar. Ia datang melalui skrin, video, permainan dan kandungan yang mudah ditonton, berulang-ulang dan tanpa sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, penjagaan anak-anak kini tidak lagi memadai dengan memastikan mereka selamat daripada bahaya di luar rumah, sebaliknya ibu bapa juga perlu mengawasi perkara yang masuk melalui mata, fikiran dan hati mereka.

“Semuanya mungkin bermula dengan mata. Apa yang dilihat masuk ke dalam fikiran, turun ke hati, mempengaruhi jiwa, kemudian mengalir kepada perbuatan.

“Ada bahaya yang tidak mengetuk pintu rumah, tetapi masuk melalui skrin di tangan anak-anak,” katanya.

Menurut beliau, isu ini perlu diberi perhatian serius terutama ketika masyarakat masih dikejutkan dengan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, Sabtu lalu.

Irene Sofiya disahkan meninggal dunia dan bedah siasat mendapati punca kematian akibat trauma tumpul pada kepala, sementara seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan. 

Terbaharu, seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia dalam bilik sewa di Kuantan, Pahang, awal pagi Selasa selepas dipercayai berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya.

Rentetan itu, polis menahan lelaki berusia 19 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sebelum ini, pada 25 September, seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan tidak sedarkan diri  sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibuli di asrama sekolah.

Post a Comment

0 Comments