PRN MELAKA: GUNA LOGO PAS JIKA TAK BOLEH GUNA LAMBANG PN - SANUSI

 

Roslinda Hashim

PADANG TERAP - Logo PAS boleh digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat kelulusan untuk menggunakan lambang gabungan itu pada pilihan raya tersebut.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penggunaan logo PAS ketika ini dilihat sebagai alternatif sekiranya keputusan berkaitan status pendaftaran PN tidak memihak kepada gabungan itu.

“Kalau tak ada pilihan, guna logo PAS. Kalau keputusan tidak memihak kepada PN untuk gunakan lambang PN dalam PRN Melaka, itu alternatif,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hakmilik (Geran) dan Kunci Rumah Desa Sejahtera, Kampung Perik, mukim Kurong Hitam di sini, hari ini.

Mengulas sama ada kesemua calon PN akan menggunakan hanya satu lambang, iaitu logo PAS bagi memudahkan pengundi, katanya, ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dalaman diadakan.

“Tapi setakat ini, perkara itu belum dibincangkan sampai ke peringkat itu. Jadi saya tidak boleh jawab secara muktamad,” katanya.

Menurut beliau, beberapa perkara penting berkaitan PRN Melaka dijangka dibincangkan dalam mesyuarat pada 12 Oktober ini sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Sanusi turut menegaskan logo PAS tidak lagi menjadi sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana penggunaannya sudah dikenali secara meluas.

“Logo PAS ini orang tak fobia dah. Satu dunia, hingga Gunung Everest pun dah ada logo PAS,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan PN bersedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN), Sanusi menafikan perkara itu.

“Tak ada kenyataan itu daripada Tuan Ibrahim. Itu Ceplos buat. Ada pula yang percaya. Saya ada tengok poster itu. Saya tahu Ceplos yang buat,” katanya.

Pada 5 Oktober, Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, PN memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung notis cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.

Permohonan tersebut difailkan oleh lima setiausaha agung parti komponen PN sebagai pemohon.

RoS sebelum itu mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, mengulas formula pembahagian kerusi antara PN dan BN jika bekerjasama dalam PRN Melaka, Sanusi berkata, hanya terdapat dua formula yang boleh dijadikan rujukan, iaitu pendekatan pada PRN Johor atau PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sekiranya BN mahu mengekalkan status quo di Melaka, prinsip sama perlu digunakan di negeri-negeri lain.

“Formula ada dua saja. Satu formula PRN Johor, satu formula lagi PRN Negeri Sembilan. Kalau status quo di Melaka, di tempat lain pun status quo. Fair and square.

“Di Melaka, BN tak ada kerusi Parlimen, jika ikut status quo lah, di negeri lain pun status quo juga,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Pengerusi BN Melaka sebelum ini yang mengatakan, BN kekal dengan pendirian mempertahankan 21 kerusi DUN dimenanginya pada PRN Melaka 2021, meskipun beberapa kerusi sedang dirundingkan untuk pertukaran.

“Itu yang saya dengar dari Ketua Menteri Melaka. Jadi di negeri lain pun, dia kena terima apa yang dia cakap itu,” katanya. 

Ketika ini, UMNO menyandang 18 kerusi DUN Melaka, manakala MCA dan MIC masing-masing mempunyai dua dan satu kerusi.

Sanusi sebelum ini turut menegaskan PAS tidak akan memberikan kerusi yang dimenanginya kepada UMNO di negeri lain sekiranya parti itu tidak bersedia memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Melaka.

“Sebanyak mana mereka berkorban, kami PAS juga berkorban sebanyak itu.  

“Janganlah mai kat tempat dia, dia tak bagi. Di tempat kita, dia mau. Tak adil lah. Perkiraan saya mudah, macam itu saja.

“Tak mahu tegang-tegang. Kita runding elok-elok. Buat kerja masing-masing,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka.

Post a Comment

0 Comments