Oleh: Zukifli Yahaya
Ketua Penerangan PAS Kedah
Seorang pengarah Syarikat ditahan kerana disyaki pecah Amanah wang pelabur sebanyak RM40 juta (wang pelabur, bukan wang Kerajaan). Syarikat itu dikaitkan dengan pembinaan litar lumba di Sungai Petani Kedah.
Maka bergegak gempita seluruh kelompok Ceplos melancarkan perang persepsi kononnya Menteri Besar Kedah terbabit dengan penyelewengan RM40 juta tersebut. Walhal urusniaga Syarikat tersebut dengan pelabur tiada kena mengena langsung dengan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri tidak alami kerugian satu sen pun, berkaitan isu dalam syarikat swasta itu.
Isu yang berlaku itu adalah satu contoh dari begitu banyak tindakan agresif gerombolan Ceplos mutakhir ini yang begitu ghairah melancarkan propaganda, pembinaan persepsi, fitnah jahat dan pembohongan terhadap lawan politik mereka. Mereka seolah-olah tidak kenal halal haram.
Ceplos adalah cybertrooper berbayar dan bergerak secara sepenuh masa di media sosial. Nama “Ceplos” didedahkan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Modus operandi mereka ialah setiap dari anggota Ceplos mewujudkan dengan banyaknya akaun-akaun palsu, kemudian mengunci akaun, sambil bergerak aktif di alam maya. Apa yang menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat, khususnya di media sosial; ialah budaya jijik dalam penyampaian mesej mereka melalui kaedah penghinaan keterlaluan terhadap individu, maki hamun, melabel buruk, fitnah, lucah bahkan sampai ke tahap menuduh sesat dan mengkafirkan pihak lawan.
Jika tidak terbendung, maka budaya buruk yang mereka tonjolkan di tengah masyarakat akhirnya akan dinormalisasi. Masyarakat, khususnya generasi baharu, boleh dirosakkan pemikiran dan budaya hidup mereka.
Jika hari ini, terdapat generasi baru yang terjerumus ke kancah salahlaku, keganasan, buli, bahkan pembunuhan; maka jangan nafikan bahawa budaya Ceplos adalah antara penyumbang kepada onar dan kebejatan dalam masyarakat.
Setiap anggota masyarakat jangan pandang ringan terhadap penularan budaya negatif bawaan Ceplos ini. Semua ini mestilah dihentikan oleh kelompok masyarakat rasional yang masih dominan di negara ini. Jika juga berdoa semoga kelompok Ceplos ini bertaubat dengan taubat Nasuha.
Sambil kita usahakan kewujudan sebuah masyarakat dan negara yang diberkati oleh Allah SWT.

0 Comments