Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘bajet gula-gula’ yang lebih bertujuan memancing sokongan berbanding menawarkan penyelesaian praktikal kepada rakyat.
Beliau turut mempersoalkan kebolehlaksanaan beberapa pengumuman baharu dalam belanjawan tersebut, yang disifatkan tidak berpijak di bumi nyata.
“Bajet gula-gula ini nampak jelas seperti hendak membeli jiwa. Ada perkara diumumkan seolah-olah tidak masuk akal dan tidak praktikal dilaksanakan. Jangan nanti sekadar umum,” katanya, hari ini.
Menurut Sanusi, antara yang menimbulkan persoalan, pemberian elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam yang disifatkannya seolah-olah usaha membeli jiwa pengundi muda yang bakal mengundi buat kali pertama.
“Ini benda baru, apakah logik di sebalik pemberian ini, adakah bersifat kepentingan politik sebab mereka ini pengundi kali pertama,”soalnya.
Sanusi turut membangkitkan kebimbangan berhubung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, terutama jika peningkatan itu tidak seiring dengan produktiviti pekerja.
Menurutnya, langkah tersebut berisiko membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi antara tunjang perniagaan negara, sekali gus menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
“Kalau kenaikan gaji tidak selari produktiviti, ia boleh mendatangkan bahaya kepada PKS. Ekonomi boleh terseliuh jika perkara ini tidak dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan majikan,” katanya.
Secara keseluruhan, Sanusi menyifatkan pendekatan Belanjawan 2027 seakan mengulangi pemberian bantuan tunai yang pernah dikritik Anwar ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan belanjawannya sebelum ini.
“Anwar pernah kritik dan marah ketika Najib bentang Belanjawan dengan sifatkan pendekatan itu berkonsep ‘cash is king’, kali ini Anwar juga buat perkara sama, umum pelbagai bentuk bantuan kewangan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman projek yang sudah dilaksanakan atau merupakan projek sambungan daripada rancangan pembangunan terdahulu, termasuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta pembangunan infrastruktur yang bermula dari Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), berlanjutan hingga RMK12 dan RMK13.
“Perbelanjaan yang sudah dibuat pada 2026 tidak sepatutnya dianggap perkara baharu dalam Belanjawan 2027. Apa yang Kedah terima kebanyakannya pembangunan yang sedang berjalan, bukannya projek baharu,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bukan perkara baharu kerana inisiatif itu telah diumumkan dalam belanjawan terdahulu.
“PM umum projek berkenaan terus diberi keutamaan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah, libatkan kerja naik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang berjalan selain pemulihan Empangan Pedu dijangka siap penghujung 2027. Sudah tiga tahun bajet umum benda sama, ini bukan benda baru,” ujarnya.
Sanusi tegaskan, Kedah mengharapkan langkah lebih besar dalam merancakkan sektor pelancongan Langkawi, khususnya dengan mengembalikan keistimewaan bebas cukai bagi barangan tertentu termasuk kereta mewah bernilai lebih RM300,000.
“Sebelum ini kita mohon kereta mewah kekal dalam senarai bebas cukai, supaya golongan berpendapatan tinggi berkunjung ke Langkawi dan berbelanja, sekali gus merangsang ekonomi setempat.
“Permintaan itu tidak diberi perhatian, sebaliknya diumumkan dinaikkan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 bagi pelawat dan pelancong, tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam, ini tidak memenuhi hasrat Kedah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan perincian pengecualian duti import bagi lebih banyak produk buatan Langkawi kerana pelaksanaannya belum jelas.
Sanusi bagaimanapun menyambut baik perhatian diberikan dalam Belanjawan 2027 bagi sektor semikonduktor di Kulim dan pemuliharaan warisan Lembah Bujang.
“Saya hargai penekanan terhadap Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai destinasi pelaburan semikonduktor dunia, namun ia perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta penyertaan lebih luas perusahaan tempatan dalam rantaian ekonomi,” katanya.
Beliau turut menghargai perhatian diberikan terhadap tapak warisan Lembah Bujang yang berpotensi mendapat pengiktirafan UNESCO, namun menegaskan usaha pemuliharaan, penyelidikan dan penyediaan kemudahan pelawat serta penglibatan masyarakat setempat perlu diberi keutamaan.
“Kita mahu Lembah Bujang berkembang sebagai aset pendidikan, sejarah dan ekonomi masyarakat dengan pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sanusi bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung penggunaan dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk pembangunan kediaman mahasiswa bernilai RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus, melibatkan enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) selain Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya (UM).
Katanya, penyediaan prasarana pendidikan sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan dan tidak sepatutnya bergantung kepada dana badan yang menguruskan wang persaraan.
“Saya setuju dengan Rafizi, tak sepatutnya dana KWAP digunakan untuk bina asrama universiti sebab ia memang tanggungjawab kerajaan bina prasarana pendidikan,” katanya.
Sanusi tegaskan, Kedah menghargai apa jua pembangunan disalurkan untuk manfaat rakyat, namun pengorbanan negeri ini juga wajar mendapat perhatian setimpal.
“Perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengehadkan pembangunan. Keputusan pembangunan mesti berpandukan keperluan rakyat dan manfaat awam, bukan keserasian politik.
“Kita mohon pertimbangan yang adil berdasarkan keperluan rakyat dan sumbangan negeri kepada ekonomi negara,” katanya.
Tegasnya, Kedah sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berlandaskan kerjasama matang, dengan memberi ruang menyatakan kekurangan, penjelasan serta mempertahankan kepentingan negeri.

0 Comments