CABARAN BESAR KERAJAAN SEDIAKAN PEKERJAAN BERKUALITI
Oleh: Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
Belanjawan 2027 memperkenalkan beberapa inisiatif untuk golongan belia, termasuk penangguhan bayaran balik PTPTN, penetapan paras asas gaji minimum dan Gaji Kehidupan Wajar bagi pekerjaan tertentu dan program Bakat MADANI. Namun, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah sejauh mana langkah ini mampu menyelesaikan masalah struktur pasaran pekerjaan yang sedang dihadapi oleh generasi muda.
Berdasarkan data, seramai 1.96 juta pekerja berkelulusan diploma dan ijazah berada dalam pekerjaan yang tidak setara dengan tahap kemahiran mereka pada suku keempat 2025. Angka ini bukan sekadar statistik. Ia menggambarkan cabaran besar dalam menyediakan pekerjaan berkualiti kepada tenaga kerja berpendidikan negara.
Anak muda menghabiskan masa bertahun-tahun menuntut ilmu, menanggung kos pendidikan dan membina harapan untuk memperoleh pekerjaan yang setimpal. Namun, sebahagian daripada mereka akhirnya terpaksa menerima pekerjaan yang tidak menggunakan sepenuhnya kemahiran dan kelayakan yang dimiliki.
Kita tidak memandang rendah mana-mana pekerjaan yang halal. Tetapi negara juga tidak boleh berpuas hati apabila pelaburan dalam pendidikan tinggi gagal diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan lebih baik.
Kerajaan mengumumkan paras asas gaji minimum RM2,500 untuk pekerjaan separa mahir dan graduan. Persoalannya, apakah mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan yang akan memastikan sasaran ini benar-benar dinikmati oleh anak muda? Adakah ia melibatkan semua sektor atau hanya kategori pekerjaan tertentu?
Tanpa mekanisme yang jelas, pengumuman gaji permulaan berisiko menjadi sasaran di atas kertas, sedangkan masalah ketidakpadanan pekerjaan terus berlarutan.
Begitu juga dengan inisiatif Bakat MADANI yang memperuntukkan RM200 juta bagi 30,000 peluang pekerjaan. Langkah ini wajar diperincikan dari segi jenis pekerjaan, kadar gaji, tahap kemahiran dan jaminan perkembangan kerjaya. Ukuran kejayaan tidak sepatutnya terhenti pada jumlah pekerjaan yang diwujudkan, sebaliknya mesti mengambil kira kualiti serta kemampuan pekerjaan tersebut meningkatkan taraf hidup anak muda.
Penangguhan bayaran balik PTPTN bagi peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 pula dapat memberikan sedikit kelegaan kepada graduan berpendapatan rendah. Namun, penangguhan hutang bukan penyelesaian kepada masalah pendapatan. Anak muda memerlukan peluang untuk meningkatkan gaji dan membina kestabilan kewangan, bukan sekadar menangguhkan komitmen yang akhirnya tetap perlu dibayar.
Cabaran ini turut berkait rapat dengan kemampuan anak muda memiliki rumah, membina keluarga dan menyediakan simpanan persaraan. Apabila gaji tidak berkembang seiring dengan kos kehidupan, semakin sukar untuk mereka mencapai kestabilan ekonomi walaupun mempunyai kelayakan akademik.
Lebih membimbangkan, laporan yang sama mengetengahkan bahawa kurang 10 peratus ahli KWSP berumur bawah 30 tahun berada pada landasan mencapai simpanan persaraan asas. Ini menunjukkan cabaran ekonomi anak muda bukan sahaja berkaitan pendapatan hari ini, tetapi juga keselamatan kewangan pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia mengemukakan lima perkara untuk diberikan perhatian serius oleh Kerajaan:
1. Mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pelaburan industri bernilai tambah dan pembangunan ekonomi berasaskan teknologi.
2. Memperincikan mekanisme pelaksanaan gaji permulaan RM2,500, termasuk liputan sektor, pemantauan dan ukuran keberkesanannya.
3. Menetapkan petunjuk prestasi yang jelas bagi program pekerjaan belia, bukan sekadar jumlah peserta, tetapi kadar penempatan kerja, pendapatan dan perkembangan kerjaya.
4. Memperkukuh penyelarasan antara institusi pendidikan dengan keperluan industri bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran graduan.
5. Membangunkan pelan mobiliti ekonomi anak muda yang menyeluruh, merangkumi pekerjaan, pendapatan, pemilikan rumah, perlindungan pekerja gig dan simpanan persaraan.
Pemuda PAS Malaysia berpandangan bahawa bantuan tunai dan insentif jangka pendek mempunyai peranan dalam meringankan beban kehidupan. Namun, keutamaan dasar negara mestilah bergerak lebih jauh daripada sekadar membantu anak muda berbelanja kepada membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan membina kekayaan sendiri.
Masa depan generasi muda tidak boleh diukur melalui jumlah bantuan yang diterima semata-mata. Ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan ialah sejauh mana anak muda mampu memperoleh pekerjaan yang baik, menikmati gaji yang bermaruah, memiliki kediaman dan membina kehidupan yang lebih terjamin.
Anak muda tidak hanya memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan. Mereka memerlukan peluang untuk membina masa depan.

0 Comments