TOLAK RUMAH PERCUMA, DEMI BERI PELUANG KEPADA ORANG LAIN
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA NERANG - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memuji sikap tidak mementingkan diri seorang penduduk Kampung Pasir Putih di sini, Abdul Fatah Abdul Mutalib yang menolak tawaran rumah percuma di bawah Program Desa Sejahtera demi memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.
Beliau berkata, Abdul Fatah sebenarnya sudah menerima tawaran rumah berkenaan malah namanya telah tercatat dalam geran, namun memilih untuk melepaskannya selepas mendapat tawaran Rumah Mesra Rakyat daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, tindakan Abdul Fatah itu wajar dihargai kerana beliau sanggup melepaskan rumah yang ditawarkan secara percuma meskipun rumah alternatif yang dipilihnya memerlukan bayaran ansuran bulanan.
“Walaupun rumah yang diterimanya itu perlu dibayar ansuran setiap bulan sedangkan rumah Desa Sejahtera ini ditawarkan secara percuma, beliau memilih untuk menerima tawaran pihak sana.
“Abdul Fatah mengambil kira ada orang lain lebih memerlukan dan patut diberi peluang miliki rumah ini setelah beliau sendiri mempunyai tawaran pilihan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hakmilik (Geran) dan Kunci Rumah Desa Sejahtera di Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, di sini, pada Khamis.
Sanusi berkata, sikap Abdul Fatah yang tidak mengambil kesempatan walaupun namanya sudah tercatat dalam geran membuktikan sifat bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap nasib orang lain.
“Beliau membuktikan dirinya tidak tamak, tidak ambil kesempatan malah berjiwa besar dan penuh tanggungjawab. Bagi saya, sikap seperti ini patut kita hargai dan contohi,” katanya.
Dalam majlis itu, Abdul Fatah bersama lima lagi penerima yang layak menerima geran tapak rumah masing-masing, menerusi projek perintis Desa Sejahtera di Kampung Perik.
Menariknya, enam keluarga berkenaan turut menerima manfaat tambahan apabila rumah mereka dibiayai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi wakalah zakat.
Menurut Sanusi, projek Desa Sejahtera di Kampung Perik merupakan yang pertama siap dibina oleh Kerajaan Negeri dengan menyediakan tapak rumah kepada rakyat miskin yang layak.
“Konsep asal Desa Sejahtera adalah menyediakan lot tanah serta infrastruktur asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik kepada golongan miskin yang layak, manakala penerima membina rumah mengikut reka bentuk dan kemampuan masing-masing.
“Bagaimanapun, bagi projek perintis di Kampung Perik yang menawarkan 100 lot tanah, masing-masing berkeluasan 3,600 kaki persegi, enam rumah dibiayai menerusi sumbangan TNB,” katanya.
Sanusi berkata, pemilihan penerima dibuat secara teliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, selain mengambil kira keperibadian dan sikap mereka dalam kehidupan bermasyarakat.
“Antara ciri yang diberi perhatian ialah memiliki peribadi yang baik, selain dalam kategori orang miskin, mereka yang rajin berusaha, pentingkan agama dan menunaikan solat, ringan tulang membantu orang lain, hidup bermasyarakat.
“Jaga keselamatan diri dan keluarga agar tak terjebak penyalahgunaan dadah dan ketum. Tidak terlibat dengan jenayah, masalah sosial selain tiada sikap negatif,” katanya.
Beliau berharap penerima yang terpilih dapat mengekalkan nilai positif itu supaya kehidupan masyarakat di Desa Sejahtera benar-benar mencerminkan kesejahteraan seperti namanya.
Dalam masa sama, Sanusi mengingatkan penerima supaya menjaga rumah dan persekitaran dengan baik serta mementingkan kebersihan.
“Kita sudah bantu mereka miliki tapak rumah. Saya harap penerima menjaga rumah dengan elok dan tidak membiarkan persekitaran kotor atau tidak terurus. Jika ada kerosakan ikhtiar sendiri baiki, sebab kita sudah bantu miliki tapak rumah.
“Nak dapat rezeki yang baik seperti ini, orang itu kena jadi baik. Kembangkanlah kebaikan,” katanya.

0 Comments