Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Projek menaik taraf Jambatan Manjalara bernilai RM111.54 juta mengalami kelewatan 106 hari daripada jadual asal, dengan kemajuan fizikal setakat 25 September sekitar 72.21 peratus berbanding sasaran 80.05 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, projek yang bermula pada 18 Julai 2022 itu pada asalnya dijadualkan siap pada 17 Julai 2025, namun tarikh siap semasa dilanjutkan kepada 13 Januari 2027 selepas diberikan lanjutan masa (EOT) kali keempat.
Menurutnya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat bagi mendapatkan taklimat terperinci mengenai status semasa projek serta masalah yang menyebabkan kelewatan.
“Taklimat itu akan melibatkan peniaga dan wakil penduduk setempat bagi menjelaskan perkembangan projek yang menimbulkan rungutan kalangan masyarakat berikutan pelaksanaannya mengambil masa lama.
“Kita akan minta JKR beri taklimat status terkini projek ini dan permasalahan dihadapi. Kita prihatin dengan rungutan peniaga serta penduduk setempat dan sedang mendapatkan tarikh daripada JKR untuk adakan perjumpaan itu,” katanya.
Dzowahir berkata, projek berkenaan bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya, termasuk urusan pelantikan kontraktor dan pelaksanaan kerja-kerja berkaitan.
Tambah beliau, antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan sebelum ini ialah kekurangan tenaga kerja dan jentera, masalah bekalan bahan binaan, kekangan aliran kewangan kontraktor serta pengurusan tapak yang tidak teratur.
“Rekod September lalu menunjukkan jumlah pekerja tertinggi yang direkodkan hanya 30 orang, sekali gus menjejaskan kelancaran pelaksanaan kerja.
“Selain itu, kontraktor masih belum melantik pegawai pengganti bagi beberapa jawatan penting di tapak bina, termasuk pengurus projek, jurutera tapak, penyelia tapak, penyelia keselamatan tapak dan juruukur bahan,” katanya.
Susulan itu, katanya, surat amaran berhubung kegagalan melantik kakitangan utama di tapak telah dikemukakan kepada pihak kontraktor.
Dzowahir memaklumkan, projek naik taraf itu melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 260 meter dengan empat lorong dua hala, menaik taraf jalan tuju sepanjang 300 meter serta pembinaan jalan perkhidmatan, perabot jalan, sistem perparitan, pembahagi jalan, lampu jalan dan lampu isyarat, selain kerja pengalihan utiliti dan perobohan jambatan sedia ada.
Sementara, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, kerja-kerja menaik taraf Jambatan Manjalara telah disambung semula dan pihaknya melihat perkembangan positif di tapak pembinaan.
“Kontraktor sudah memulakan semula kerja dan kita nampak ada kemajuan. Kita harap mereka dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual ditetapkan.
“Sebelum ini kontraktor berdepan beberapa masalah dan kementerian pada asalnya bercadang untuk menamatkan kontrak, tetapi perkembangan terkini menunjukkan kerja sudah disambung semula,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan projek itu turut diberi perhatian melalui tindakan Pejabat Daerah dan jawatankuasa infrastruktur berikutan kaitannya dengan kerja-kerja sistem perparitan di kawasan sekitar, termasuk Pasar Kampung Berjaya.

0 Comments