Oleh: Ustaz Ahmad Yahaya
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
Seluruh Malaysia turut merasai kesedihan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadapi kehilangan insan yang menjadi suri hati dan peneman hidupnya selama lebih 70 tahun.
Kasih sayang mereka telah lama diketahui rakyat. Justeru, ramai yang tersentuh melihat Tun Dr. Mahathir mengiringi perjalanan terakhir Tun Dr. Siti Hasmah dengan linangan air mata.
Namun, itulah hakikat kehidupan.
Setiap pertemuan ada perpisahan.
Setiap yang hidup pasti menemui kematian.
Dan setiap kita sedang menuju kepada-Nya.
Apabila insan yang paling kita sayangi pergi menghadap Ilahi, dunia terasa sunyi.
Ada yang menangis di awal pagi kerana kehilangan.
Ada yang terasa hiba apabila petang menjelang.
Ada yang terjaga di tengah malam lalu air mata mengalir tanpa disedari.
Tetapi dalam setiap kehilangan, ada hikmah yang Allah mahu kita fahami:
Kita tidak pernah benar-benar sendirian.
Manusia mungkin pergi meninggalkan kita, tetapi Allah tetap bersama kita.
Dia dekat ketika kita kesunyian.
Dia mendengar ketika tiada siapa memahami.
Dia mengetahui setiap air mata yang kita sembunyikan.
Teringat sebuah kisah seorang imam yang akan menjalani pembedahan. Doktor bertanya, “Tuan Haji ada isteri dan anak-anak?”
“Ya. Mereka mengiringi saya sehingga ke sini.”
Doktor menjawab, “Keluarga tuan hanya mampu menunggu dan berdoa. Kami pula hanya mampu berusaha memberikan rawatan terbaik. Tetapi yang akan bersama tuan ialah Allah. Dialah Penyembuh. Jangan lupakan Dia dan jangan berputus asa daripada rahmat-Nya.”
Betapa dalamnya pesanan itu.
Kadang-kadang kehilangan mengajar kita bahawa apabila manusia sudah tidak mampu berbuat apa-apa, Allah tetap ada.
Maka wahai jiwa…
Jika suatu hari nanti engkau kehilangan insan yang paling dicintai, menangislah. Rasailah kesedihan itu. Biarlah air mata yang mengalir bersama ingatan yang kuat kepada Allah.
Kerana manusia yang kita cintai akan pergi, tetapi Allah tidak pernah pergi.
Saat dunia terasa sunyi, dekatilah Allah.
Saat hati terasa kosong, ingatilah Allah.
Kerana hati yang bersama Allah tidak pernah benar-benar sunyi. DIA TETAP ADA.

0 Comments