“BINCANG KERJASAMA POLITIK UMNO-PAS DI KEDAH”
Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan pertemuan dengan Pengerusi UMNO Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah akan diadakan bagi meneroka kemungkinan kerjasama politik antara kedua-dua parti di negeri ini.
Menurut beliau, pertemuan itu kini sedang diatur selepas beliau mendapat persetujuan daripada PAS Kedah.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai hasrat UMNO Kedah untuk berjumpa, dan saya sudah mendapat persetujuan PAS Kedah untuk adakan pertemuan awal dengan Dato’ Seri Mahdzir Khalid.
“Saya dimaklumkan beliau akan hadir bersama Dato’ Seri Ahmad Bashah. Kita pun minta diaturkan pertemuan dan tengok masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sepak Raga Tuju Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Tahun 2026 di sini hari ini.
Menurut Sanusi, sebarang keputusan berkaitan parti hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah kerana dirinya bukan ketua parti di negeri ini.
“Saya bukan ketua parti di Kedah, saya ada ketua saya, iaitu Pesuruhjaya PAS Kedah.
“PAS Kedah pun dah bersetuju. Pejabat saya tunggu tarikh sesuai, sebab jadual saya padat, nak atur bagi elok. Kita akan berjumpa dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas bentuk perbincangan yang bakal berlangsung, Sanusi berkata, pertemuan awal itu lebih kepada memahami kehendak UMNO sebelum sebarang rundingan lanjut dibuat berdasarkan arahan PAS Pusat.
Katanya, beliau tidak menerima gambaran terperinci mengenai perkara yang akan dirundingkan dan menyerahkan keputusan kepada pimpinan PAS di peringkat Pusat.
“Saya akan dapatkan butiran daripada PAS Pusat untuk rundingan lanjut. Untuk pertemuan awal ini hanya untuk explore apa kehendak UMNO. Mungkin nak tanya pasal kerusi lah kot.
“Saya difahamkan kerusi rujuk status quo. Kalau UMNO, BN tak ada kerusi lagi, boleh explore tengok dulu kerusi mana, tapi tak pastilah apa yang akan kita bincang untuk pertemuan awal ini,” katanya.
Bagaimanapun, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menegaskan, sebarang rundingan mengenai pembahagian kerusi tidak boleh dilihat dalam konteks sesebuah negeri sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira kedudukan di seluruh negara.
Beliau berkata, pendekatan itu penting sekiranya wujud keperluan untuk melakukan pertukaran atau penyusunan semula kerusi antara negeri-negeri.
“Kalau bincang dalam negeri itu sahaja, susah nak adjust. Macam di Kelantan dan Terengganu, susah nak adjust. Jadi kena ambil kira negeri-negeri lain kot.
“Perundingan mesti ambil kira seluruh negara, barulah boleh buat adjustment sana sini, sama ada perlu swapping atau tidak dalam negeri, atau swapping di negeri lain.
“Sebab itu perlu buka medan lebih luas, baru boleh buat anjakan,” katanya.
Namun Sanusi tegaskan, keputusan akhir berkaitan perkara itu akan dimuktamadkan PAS Pusat dan negeri hanya akan melaksanakan keputusan yang diputuskan.
“Pusat akan buat keputusan, dan turunkan keputusan itu di negeri-negeri. Saya akan patuh keputusan itu.
“Peringkat awal, jumpa dulu, tengok apa wakil UMNO nak sebut. Saya tak ada gambaran lagi,” katanya.
Ditanya sama ada rundingan akan membabitkan Perikatan Nasional (PN) termasuk parti Wawasan, Sanusi berkata, perkara berkaitan keputusan politik gabungan itu juga ditentukan di peringkat nasional untuk dipatuhi pimpinan negeri.
“Persetujuan pokoknya dibuat di peringkat Pusat, iaitu peringkat presiden dengan jawatankuasa perunding, negeri-negeri akan melaksanakan hasil rundingan.
“Saya difahamkan mesyuarat PN akan diadakan dalam masa terdekat. Tengok apa keputusan peringkat nasional nanti.
“Maksudnya PN negeri akan patuh. Sama dengan PAS, saya pegawai PAS Pusat di Kedah. PAS Pusat putus apa, saya ikutlah,” katanya.
Sebelum ini, Mahdzir menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Sanusi selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara kedua-dua parti di Kedah.
Mahdzir sebelum ini berkata, pertemuan berkenaan akan diatur selepas selesai perhimpunan masing-masing, dengan PAS terlebih dahulu mengadakan Muktamar Tahunan di Kota Bharu sebelum PAU 2026 berlangsung minggu ini.

0 Comments