TANGAN RAHSIA HALANG GELOMBANG BIRU
Oleh: Dr Khalid Hamka
Penganalisis Politik
Ada sesuatu yang tidak kena pada perjalanan Gelombang Biru menuju PRN Melaka.
Ketika PAS dan UMNO semakin hampir mencari formula mengelakkan pertembungan, satu demi satu halangan muncul. BN mengunci 21 kerusi, hubungan politik UMNO memasuki fasa baharu selepas Najib mendapat tahanan rumah, Bersatu membuat aduan kepada RoS, PN kemudiannya digantung dan pada masa yang hampir sama berbagai-bagai formula kerjasama politik lain mula dibicarakan.
Semua ini boleh dianggap kebetulan. Tetapi dalam politik, terlalu banyak kebetulan yang muncul pada waktu yang hampir sama akhirnya akan mengundang satu pertanyaan, siapa sebenarnya paling berkepentingan jika Gelombang Biru PN-BN tidak menjadi kenyataan?
Pada peringkat awal, usaha kerjasama PAS–UMNO kelihatan mempunyai ruang. Zahid Hamidi sendiri memberikan mandat kepada Ab Rauf Yusoh untuk berunding dengan mana-mana parti menjelang PRN Melaka. Rauf sendiri menetapkan 21 kerusi hak BN Melaka. Ini bermakna pintu rundingan tidak pernah tertutup tetapi terhad. Masalahnya ialah semakin pintu itu dibuka, semakin sempit pula ruang di belakangnya.
Namun satu peristiwa pada 18 September mungkin lebih penting daripada angka 21 itu. Najib Razak mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Perkembangan itu mempunyai kesan politik yang nyata kepada UMNO. Zahid sendiri berharap keputusan berkaitan Najib memberikan momentum dan nilai tambah kepada UMNO menjelang PRN Melaka.
Apabila satu perkembangan besar yang begitu dekat dengan emosi UMNO berlaku ketika parti itu berada dalam kerajaan pimpinan Anwar, kesannya terhadap suasana hubungan politik tidak boleh diketepikan begitu sahaja. UMNO melihat situasi ini ibarat hadiah istimewa Anwar kepada UMNO khusus memperteguhkan kedudukan Zahid sebagai Presiden.
Zahid menjaga papan catur UMNO dan BN di peringkat nasional, manakala Rauf menjaga kepentingan BN di Melaka. Seorang mengurus hubungan besar menjelang PRU16, seorang lagi mempertahankan 21 kerusi menjelang PRN Melaka. Kedua-duanya akhirnya bertemu pada persoalan yang sama, sejauh mana ruang mahu diberikan kepada PN?
Ketika perhatian tertumpu kepada UMNO, sesuatu yang jauh lebih pelik berlaku dari dalam rumah PN sendiri.
RoS mengesahkan tindakan terhadap PN berpunca daripada aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu, sebuah parti komponen PN. Notis tunjuk sebab dikeluarkan pada 22 September dan semua kegiatan PN digantung berkuat kuasa 23 September. RoS pada masa sama menjelaskan bahawa tindakan tersebut belum merupakan pembatalan pendaftaran PN.
Di sinilah misteri menjadi semakin tebal. Rumah PN tidak mula bergoncang kerana aduan PH. Bukan kerana aduan DAP. Bukan kerana aduan PKR. Bukan juga kerana UMNO. Aduan itu datang daripada dalam rumah PN sendiri. Daripada Bersatu rakan gabungan PAS semasa PRU15.
Lebih menarik, tarikh penggantungan itu bertembung dengan perkembangan politik yang sangat penting di Melaka. Pada 23 September, pimpinan BN dan PN dilaporkan dijangka mengadakan rundingan peringkat tinggi mengenai kemungkinan kerjasama pilihan raya, termasuk perkara paling sensitif iaitu pembahagian kerusi.
Pada mulanya mudah untuk melihat ke arah PH. Jika PAS dan UMNO bertembung, struktur pertandingan berbeza daripada keadaan kedua-duanya mencapai persefahaman. Sebab itu kewujudan formula PN-BN mempunyai implikasi strategik yang besar kepada PH. Kerjasama BN–PN, PH Plus atau pertandingan berasingan sebagai antara konfigurasi yang menarik untuk membentuk keunikan PRN Melaka.
Pada hari PN mahu membincangkan kerusi dengan BN, penggantungan kegiatan PN turut berkuat kuasa.
Satu tarikh. Dua perkembangan. Sukar untuk tidak bertanya.
Tetapi jangan tergesa-gesa mencari seorang dalang. Politik jarang semudah cerita seorang penjahat di belakang tirai. Beberapa pihak boleh mempunyai kepentingan berbeza tanpa perlu berpakat.
Ada yang mahu mempertahankan 21 kerusi.
Ada yang mahu menjaga hubungan cikgu-anak murid.
Ada yang sedang mempertikaikan kedudukannya dalam PN.
Ada pula yang secara strategik tentunya perlu mengambil kira kesan sekiranya PAS dan UMNO berjaya mengelakkan pertembungan.
Ada pihak yang bimbang kerjasama PN-BN akan lenyapkan terus peluang mereka dalam PRN Melaka.
Malah ada yang gembira hilang rakan lama demi rakan dalam jajaran baru.
Kepentingannya berbeza, tetapi kesannya boleh bertemu pada satu titik iaitu Gelombang Biru menjadi semakin sukar dilahirkan. Namun sesiapa yang menjangkakan segala tekanan ini akan menyebabkan PAS mengangkat tangan nampaknya berhadapan dengan masalah lain.
PAS masih optimis. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 26 September mengesahkan rundingan PN–BN sudah melepasi 50 peratus. Beliau menegaskan penggantungan PN tidak menjejaskan rundingan tersebut dan menyifatkan perkembangannya sebagai positif. Lebih penting, beliau secara jelas menyatakan optimisme bahawa agenda penyatuan ummah dapat dilaksanakan di Melaka.
Angka lebih 50 peratus itu membawa mesej yang besar. Ketika orang lain sibuk membincangkan sama ada PN akan terus wujud, PAS masih bercakap tentang meja rundingan. Ketika 21 kerusi BN dikatakan tidak boleh disentuh, PAS masih mencari formula. Ketika PN digantung, rundingan dengan BN masih diteruskan.
Malah isu logo juga tidak kelihatan menggugat keyakinan PAS. Takiyuddin menyatakan bahawa sekiranya penggantungan PN masih berkuat kuasa ketika PRN Melaka, logo PAS sendiri merupakan antara pilihan yang boleh digunakan.
Maknanya cukup mudah. Jika rumah PN sedang dibaiki, perjuangan politik tidak semestinya berhenti di halaman. Jika logo PN menjadi masalah, masih ada logo PAS. Jika formula kerusi belum selesai, rundingan diteruskan. Jika tekanan datang daripada luar atau dalam, penyatuan ummah tidak semestinya dikuburkan bersamanya.
Inilah perkara yang mungkin tidak dijangka oleh mereka yang mengharapkan masalah PN akan mematikan Gelombang Biru. PAS tidak panik. PAS tidak menutup pintu. PAS masih optimis.
Maka tidak perlu menamakan sesiapa sebagai “tangan rahsia”. Cukup perhatikan cap jari kepentingannya.
Perhatikan siapa yang mahu mempertahankan 21 kerusi. Perhatikan siapa yang mempunyai hubungan politik yang mahu dipelihara. Perhatikan siapa yang sedang berkonflik dengan rumah politiknya sendiri. Perhatikan siapa yang mendapat ruang lebih besar apabila PAS dan UMNO gagal mencapai persefahaman.
Semakin disusun, semakin banyak persoalan muncul. Mungkin bukan satu tangan. Mungkin beberapa tangan. Mungkin juga setiap tangan hanya menjaga kepentingannya sendiri.
Apa pun jawapannya, PAS setakat ini memilih jalan yang berbeza. Bukan membalas tekanan dengan menutup pintu, tetapi meneruskan rundingan. Bukan menjadikan penggantungan PN sebagai alasan menguburkan penyatuan, tetapi menyediakan pilihan lain. Bukan menganggap 21 kerusi BN sebagai noktah, tetapi terus mencari ruang yang masih boleh dirundingkan.
Tangan rahsia mungkin mampu meletakkan batu di tengah jalan, tetapi setakat ini belum mampu membuat PAS berpatah balik.
Gelombang Biru mungkin sedang diuji sebelum sempat sampai ke pantai Melaka. Tetapi apabila rundingan sudah melepasi 50 peratus dan PAS sendiri masih menyatakan optimisme terhadap penyatuan ummah, cerita ini jelas belum sampai ke penghujungnya.
Dan siapa sebenarnya paling tidak mahu jambatan PAS–UMNO itu siap? Tidak perlu dijawab sekarang.
Najib sudah mendapat tahanan rumah. BN masih mempertahankan 21 kerusi. PN pula digantung. Rundingan PN-BN bagaimanapun sudah melepasi 50 peratus. PH Melaka juga sudah sahkan rundingan bersama Bersatu bakal lahirkan PH-Plus.
Maka episod seterusnya bukan lagi sekadar mengenai siapa berkawan dengan siapa. Ia mengenai siapa benar-benar mahu penyatuan itu berlaku dan siapa sebenarnya paling takut apabila Gelombang Biru mula terbentuk.

0 Comments