Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) akan memberi tumpuan kepada tindakan susulan bagi memastikan resolusi solidariti terhadap Palestin dan Iran tidak berakhir sebagai dokumen semata-mata.
Pengerusinya, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, fokus utama forum kali ini adalah menggerakkan sepenuhnya Jawatankuasa Tindakan Bersama yang ditubuhkan menerusi MUNIF 1.0 supaya setiap resolusi yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
Menurutnya, MUNIF 2.0 yang menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, ahli Parlimen serta perwakilan diplomatik dari pelbagai negara turut menjadi medan memperkukuh tindakan bersama dan kesatuan suara umat Islam dalam berdepan isu geopolitik dan kemanusiaan antarabangsa.
“Selain memperkukuh solidariti ummah terhadap Palestin dan Iran, fokus utama ialah menggerakkan sepenuhnya Jawatankuasa Tindakan Bersama supaya setiap resolusi yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan dan tidak terhenti sebagai dokumen semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan.
Muhammad Khalil berkata, forum bertemakan “Uniting to Amplify the Power of the Ummah: Global Solidarity with Iran Towards the Liberation of Palestine” yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada Khamis (esok) itu dijangka akan memuktamadkan Deklarasi Kota Bharu 2026 sebagai pendirian bersama terhadap krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu berkata, lima sasaran praktikal menjadi fokus MUNIF 2.0, termasuk mengkonsolidasikan rangkaian strategik antarabangsa sebagai satu blok pemikiran dan tindakan.
Katanya, usaha advokasi dan pembelaan terhadap rakyat Palestin dan Iran juga akan diteruskan menerusi strategi sokongan yang lebih konkrit, selain memperkukuh solidariti terhadap negara umat Islam yang berdepan tekanan kuasa luar.
“Solidariti terhadap Iran dan Palestin bukanlah persoalan kelompok, kepartian atau aliran fahaman. Ia adalah persoalan kedaulatan sebuah negara umat Islam yang berdepan tekanan kuasa luar.
“Penindasan tidak pernah menyoal kelompok seseorang sebelum ia menimpa, tidak menyoal bendera dan tidak menyoal parti. Justeru, pembelaan kita juga tidak wajar bermula dengan persoalan-persoalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, apabila kedaulatan mana-mana negara umat Islam dicabar, ia turut memberi kesan terhadap kepentingan geopolitik bersama, termasuk Malaysia.
“Hal ehwal antarabangsa bukanlah agenda sampingan kepada politik dalam negara. Kita tidak menanti isu Palestin menjadi popular sebelum bersuara dan kita tidak akan berundur apabila ia tidak lagi menjadi tumpuan,” ujarnya.
Muhammad Khalil berharap penganjuran kali ini menjadi langkah penting memperkukuh kesatuan suara umat Islam di peringkat antarabangsa serta memperhebat usaha mempertahankan maruah, hak dan kebebasan rakyat Palestin, Iran dan umat Islam sejagat.
MUNIF 2.0 merupakan kesinambungan MUNIF 1.0 yang diadakan di Kedah tahun lalu serta Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu pada April.

0 Comments