Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dijangka menjana kira-kira 3.95 juta kilowatt-jam (kWh) tenaga bersih setahun, menerusi pelaksanaan projek tenaga solar Fasa Satu di tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato’ Radzuan Osman berkata, sistem berkenaan juga berjaya menjimatkan kira-kira RM555,000 setahun, bersamaan RM46,300 sebulan atau 15 peratus daripada kos penggunaan tenaga di lokasi terbabit.
Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan pembangunan sistem solar berkapasiti keseluruhan kira-kira 2.55 megawatt peak (MWp) dengan pemasangan lebih 4,111 panel solar.
“Sistem berkenaan mampu menjana kira-kira 3.95 juta kilowatt-jam (kWh) tenaga bersih setahun, sekali gus membantu SADA mengurangkan kos operasi serta meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembangunan Solar SADA di LRA Kuala Ketil, yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, hari ini.
Radzuan berkata, penjimatan yang berjaya dicapai itu dapat memberikan ruang kepada syarikat untuk memperkukuh perbelanjaan terhadap operasi utama, penyelenggaraan aset dan pembangunan infrastruktur bekalan air.
“Bagi sebuah syarikat operator air seperti SADA, tenaga elektrik antara komponen penting dalam keseluruhan proses pengeluaran dan pembekalan air terawat.
“Penggunaan tenaga elektrik melibatkan keseluruhan rantaian operasi, bermula daripada proses rawatan air mentah, pengepaman, penyimpanan sehingga pengagihan kepada pengguna.
“Pada satu ketika kos penggunaan elektrik SADA cecah RM14 juta sebulan. Melalui pelaksanaan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan sistem mekanikal dan elektrikal di LRA, kos berjaya diturunkan kepada RM11 juta sebulan,” katanya.
Menurut beliau, ia mendorong SADA meneroka penggunaan tenaga solar sebagai langkah mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan tenaga untuk jangka panjang.
Radzuan memaklumkan, projek Fasa 1 melibatkan LRA Kuala Ketil Lama, LRA Kuala Ketil Baru dan LRA Sungai Ular dengan nilai pembangunan RM7.5 juta, dibiayai tanpa memerlukan perbelanjaan modal (CAPEX) atau kos pendahuluan daripada SADA.
“Pelaksanaan sistem solar ini menggunakan pendekatan Self Consumption (SELCO), membolehkan tenaga elektrik dijana daripada sistem solar digunakan secara langsung bagi menyokong keperluan operasi loji.
“Bagi LRA Kuala Ketil, pembangunan ini turut dilaksanakan melalui mekanisme Supply Agreement Renewable Energy (SARE), sekali gus membolehkan SADA memperoleh manfaat daripada pembangunan infrastruktur tenaga solar tanpa perlu menyediakan perbelanjaan modal awal yang besar,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan tenaga solar turut memberi manfaat kepada alam sekitar apabila pembangunan di LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Kuala Ketil Baru dijangka dapat mengelakkan lebih 1,100 tan metrik pelepasan karbon dioksida setahun.
Katanya, impak itu dianggarkan bersamaan dengan manfaat penanaman kira-kira 50,000 batang pokok setahun.
“Kecekapan dalam pengurusan air perlu seiring dengan kecekapan pengurusan tenaga. Kita mahu mengurus sumber dengan lebih cekap supaya mempunyai keupayaan lebih besar untuk beri perkhidmatan lebih baik kepada pengguna,” katanya.
Menurut Radzuan, kejayaan pelaksanaan Fasa Satu menjadi asas kepada SADA memperluaskan penggunaan tenaga solar ke fasiliti lain yang berpotensi, sekali gus membantu syarikat mengoptimumkan sumber kewangan bagi memberi tumpuan kepada operasi, penyelenggaraan aset, peningkatan sistem dan pengukuhan mutu perkhidmatan bekalan air di Kedah.

0 Comments