“WUJUDKAN ACARA AEROANGKASA BAHARU DI MELAKA, BUKAN PINDAHKAN LIMA”
Oleh: Roslinda Hashim
LANGKAWI - Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) perlu terus dikekalkan di Langkawi, manakala Melaka boleh diwujudkan acara atau segmen aeroangkasa dan maritim baharu, tanpa memindahkan LIMA dari pulau peranginan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, LIMA sudah menjadi sebahagian daripada identiti Langkawi di pentas dunia selepas lebih 30 tahun penganjurannya, selain memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan sektor pelancongan tempatan.
“Pendirian saya jelas, LIMA perlu terus kekal di Langkawi.
“Lebih 30 tahun penganjurannya telah menjadikan LIMA sebahagian daripada identiti Langkawi di pentas dunia, malah acara mega itu juga memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan sektor pelancongan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilaporkan berkata, kerajaan sedang meneroka kemungkinan menganjurkan LIMA di Melaka sekiranya Langkawi pada masa hadapan dianggap tidak lagi sesuai.
Menurut Amar Pared, sekiranya Melaka mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur dan keupayaan penganjuran, Kementerian Pertahanan disaran mewujudkan acara atau segmen aeroangkasa dan maritim baharu di negeri itu, tanpa memindahkan LIMA dari Langkawi.
Katanya, langkah tersebut membolehkan Melaka turut mendapat manfaat daripada industri aeroangkasa dan maritim tanpa menjejaskan kedudukan LIMA di Langkawi.
“Jika terdapat kekangan dari segi akses, penerbangan atau infrastruktur di Langkawi, penyelesaiannya ialah menaik taraf dan memperkukuhkan Langkawi, bukan memindahkan LIMA.
“Kita boleh membina sesuatu yang baharu tanpa menghapuskan apa yang telah berjaya dibina.
“LIMA telah berakar di Langkawi selama lebih 30 tahun, jangan dicabut akar itu,” tegas beliau.

0 Comments