Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Jangan rosakkan jenama yang sudah dibina lebih 30 tahun.
Itu pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) wajar terus dianjurkan di Langkawi kerana jenama berkenaan masih mempunyai nilai dan diterima di peringkat antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, LIMA bukan sekadar sebuah acara pameran, sebaliknya jenama yang dibangunkan Malaysia sejak 1991 sehingga berjaya menarik penyertaan syarikat pertahanan antarabangsa.
“Saya merasa terpanggil untuk beri sedikit pendapat terhadap cadangan untuk memberhentikan LIMA di Langkawi.
“Ia bukan semata-mata berkait perasaan saya tetapi yang lebih penting ialah apakah LIMA bukan satu ‘brand’ yang masih laku,” katanya.
Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, usaha berpuluh-puluh tahun untuk mengangkat nama LIMA di peringkat antarabangsa tidak sepatutnya diketepikan hanya kerana terdapat kelemahan dalam penganjurannya.
“Kita sudah berusaha berpuluh tahun untuk menaikkan brand atau jenama LIMA di peringkat antarabangsa dan pada asasnya ia diterima.
“Buktinya ialah kehadiran syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa,” katanya.
Dr. Mahathir yang merupakan pengasas LIMA berkata, sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA seharusnya diperbaiki bagi memastikan pameran itu terus relevan dan kompetitif.
“Jika kita dapati ada kekurangan dalam LIMA, maka kita perbaiki,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan keperluan mengadakan pameran lain yang lebih khusus tidak semestinya memerlukan LIMA dihentikan atau dipindahkan dari Langkawi.
“Jika ada keperluan besar untuk ada pameran lain yang berkaitan tetapi tidak mampu ditampung oleh LIMA, adakan pameran lain yang lebih ‘targeted’,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Melaka berpotensi menjadi lokasi alternatif LIMA sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai pada masa hadapan.
LIMA diperkenalkan dan dianjurkan buat kali pertama pada 11 November 1991 di Langkawi, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Penganjuran sulung itu dikenali sebagai LIMA ’91 dan pada asalnya bertujuan menjadi platform pameran aeroangkasa serta maritim antarabangsa, selain membantu mengembangkan industri aeroangkasa Malaysia dan mempromosikan Langkawi.
Kerajaan kemudiannya meneruskan LIMA sebagai acara dwitahunan di Langkawi.

0 Comments