“KALAU KATUP PINTU KELUAR, BUNYI DERAS, INI TAK BUNYI PUN”

 

SANUSI SINDIR PEMIMPIN DAP

Oleh: Roslinda Hashim 

PARIT BUNTAR - Kemelut politik dalam Kerajaan Perpaduan khususnya DAP disifatkan dipenuhi pengumuman hendak meletakkan jawatan atau keluar kerajaan, namun sehingga kini tiada tindakan yang benar-benar berlaku.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ini termasuk isu peletakan jawatan pemimpin DAP dalam Kabinet susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Hari-hari dalam Kerajaan Perpaduan sibuk dengan politik. Sat (kejap) letak jawatan, sat tak letak. Sat umum, sat tak letak.

“Mula-mula Nga Kor Ming kata nak letak, lepas itu dia tak letak. Lepas itu umum nak keluar Kerajaan Madani, tak keluar.

“Lepas itu Menteri Pengangkutan kata dia seorang sudah keluar. Tak tahu keluar ke dak (tidak), tak dengar cerita pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Parit Buntar di Titi Serong, di sini, malam tadi.

Sanusi turut mengibaratkan tindakan keluar daripada Kerajaan Persekutuan atau meletakkan jawatan Kabinet umpama seseorang perlu membuka dan menutup pintu, agar tindakan itu jelas.

“Tak bunyi pintu buka, tak bunyi pintu katup. Nak keluar kena ada buka pintu. Kalau katup, keluar cara ini pintu bunyi deras (kuat). Ini tak bunyi pun,” katanya sinis.

Pada 19 September, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian parti itu berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan anggota Kabinet dan timbalan menteri daripada DAP serta mereka yang memegang jawatan lain dalam kerajaan akan kekal dalam jawatan masing-masing buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terjamin.

Ia susulan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September mengumumkan Najib mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta.

Terbaharu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP setakat ini hanya memutuskan Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, tanpa mendedahkan secara terperinci hasil perbincangan mengenai kedudukan pemimpin parti itu dalam Kabinet.

Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilaporkan akan bertemu Loke dalam masa terdekat selepas pemimpin DAP itu selesai menjalankan urusan di Shanghai.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pernah menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya Najib dilepaskan tanpa hukuman yang setimpal.

Post a Comment

0 Comments