KERAJAAN GAGAL LINDUNGI BUMIPUTERA: TARIK BALIK PEMANSUHAN SYARAT 30% EKUITI BAGI INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA (IPS)

 

KENYATAAN MEDIA

TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS SELANGOR

Oleh : Ustaz Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memandang sangat serius dan membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memansuhkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan Institusi Pendidikan Swasta (IPS).

2. Keputusan ini merupakan satu lagi bukti nyata yang akan terus direkodkan dalam sejarah pentadbiran kerajaan hari ini, di mana mereka secara berterusan cuba menggugat, menghakis, dan membelakangkan keistimewaan serta kedudukan ekonomi Bumiputera di negara ini.

3. Kerajaan seolah-olah buta sejarah dan lupa akan faktor utama mengapa syarat ini diwujudkan pada tahun 2006. Ia digubal sebagai langkah intervensi penting untuk membantu dan memberi sokongan kepada bangsa Melayu serta Bumiputera yang masih jauh ketinggalan dalam jurang ekonomi negara berbanding bangsa lain.

4. Sebagai perbandingan bagi menggambarkan betapa kroniknya jurang ekonomi antara bangsa Melayu dan bangsa lain, rujuk sahaja laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Fakta jelas menunjukkan purata gaji penengah bangsa Melayu masih berada di tahap paling rendah berbanding bangsa lain. Realiti pahit ini meletakkan bangsa Melayu seolah-olah menjadi 'bangsa kelas ketiga' yang bergelut dan terpinggir dari segi pendapatan di tanah airnya sendiri.

5. Apa yang lebih mendukacitakan, wujud "double standard" yang ketara dalam ekosistem pekerjaan negara. Lihat sahaja hakikat dalam industri pekerjaan masa kini; peluang pekerjaan bergaji tinggi kebanyakannya dimonopoli oleh syarikat-syarikat yang secara terang-terangan meletakkan syarat diskriminasi halus seperti "Mandarin speaker only".

6. Ketika bangsa lain berhempas-pulas melindungi, mempertahan, dan menjaga kelangsungan ekonomi bangsa mereka sendiri di sektor swasta, amat menyedihkan apabila kementerian yang membuat keputusan memansuhkan ekuiti ini diketuai oleh Menteri yang juga berbangsa Melayu. Bagaimana pemimpin Melayu sendiri boleh dengan rela hati bersetuju pada perubahan polisi yang bakal meruntuhkan benteng perlindungan ekonomi dan menghakis masa depan bangsanya sendiri?

7. Pemerkasaan ekonomi Bumiputera bukan agenda rasisme, tetapi ia adalah teras kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Memansuhkan syarat ini atas alasan "memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan" hanyalah retorik kosong yang akhirnya akan meminggirkan terus penglibatan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta yang menjana keuntungan berbilion ringgit.

8. Justeru, DPPNS mendesak dengan tegas agar Kerajaan Persekutuan dan KPM segera MENARIK BALIK keputusan ini dan KEKALKAN dasar 30 peratus ekuiti Bumiputera tersebut. Jangan sampai rakyat terutamanya orang Melayu menghukum keangkuhan kerajaan ini di peti undi kelak akibat pengkhianatan terhadap ekonomi bangsa sendiri.

Post a Comment

0 Comments