KEPENTINGAN BUMIPUTERA SEMAKIN TERHAKIS
Oleh: Roslinda Hashim
PARIT BUNTAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan isu pemansuhan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) boleh menjejaskan kepentingan Bumiputera.
Beliau bimbang terdapat kecenderungan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera semakin terhakis sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberi mandat mentadbir negara.
“Inilah bahaya yang menanti bila PH dibiarkan terlalu lama memerintah negara ini, satu-satu terhakis.
Terbaharu, isu 30 peratus ekuiti Bumiputera IPS, tak gaduh dah. Ikut suka, bebas.
“Hak keistimewaan orang Melayu ada dalam Perlembagaan. Telah tertulis, terkunci, tetapi boleh langgar. Mana kita tak sakit hati?” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Parit Buntar di Titi Serong, di sini.
Sanusi berkata, keputusan atau tindakan yang menyentuh kepentingan Bumiputera perlu diberi perhatian kerana ketidakpuasan yang berlarutan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Apa saja yang bersabit dengan kepentingan dia, tanpa segan silu langgar. Dia tak kira kita nak sakit hati atau marah, selagi boleh, dia pi (langgar). Ini perangai mereka.
“Sampai satu masa, bila kesabaran telah hilang, tindakan melampau terus menjadi-jadi, negara ini akan hilang keamanan dan ketenteraman. Maka hidup kita tak seronok, rasa tak selamat, berasa geram,” katanya.
Pada 21 September lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.
Menurut KPM, penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
Bagaimanapun, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada 22 September menjelaskan tidak mempunyai makluman berhubung penyelarasan syarat pemilikan IPS itu, dan menegaskan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, rakyat perlu memikirkan kesan jangka panjang terhadap generasi akan datang sekiranya isu berkaitan kepentingan Bumiputera terus berlarutan.
“Berapa lama kita boleh bertahan. Kita mati diwarisi anak kita. Anak kita mati diwarisi cucu kita. Masa itu apa dah jadi kepada negara ini?
“Bila geram, sakit hati, ketidakpuasan berlarutan dan terus berlarutan. Kita mahu tanah air yang aman, ekosistem, persekitaran yang selamat untuk masa depan generasi kita.
“Mari kita hentikan PH sekarang. Kita hentikan mereka setakat PRU16. Cukuplah setakat ini sahaja,” katanya.

0 Comments