“SAYA MAKI TAUKE JUDI, BUKAN PERDANA MENTERI”

 

ISU JUDI: SANUSI TEGASKAN HANYA BERCAKAP PERKARA BENAR

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau hanya menyatakan perkara yang benar dalam isu perjudian, termasuk mengkritik golongan yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Menurutnya, kenyataan keras yang dibuat sebelum ini bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya kepada ‘tauke judi’ yang mempertahankan kepentingan perjudian.

“Saya bukan maki sembarangan. Saya maki tauke judi. Saya bukan maki ustaz, tok guru atau Perdana Menteri (pun tak). Saya maki tauke judi. Kata sikit-sikit macam itu pun berdarah, koyak… Jangan koyak. 

“Berani berkata benar, kata-kata yang keras tetapi benar. Isu ini (judi) menjentik hati semua orang, pakat ulas siang malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Generasi Pewaris Sejahtera Negeri Kedah 2026 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Sanusi berkata, masyarakat perlu melihat sesuatu isu berdasarkan realiti dan sumber asal, bukannya terpengaruh dengan persepsi atau naratif yang dibentuk pihak tertentu.

“Kena letak sesuatu di tempat yang betul. Jangan terpesong kerana ada orang ‘spin’. Cari sumber asal. Cari naratif yang sebenar, bukan naratif yang dibina.

“Naratif yang dibina itu dipanggil persepsi. Dibina persepsi supaya orang semua tengok macam mereka nak. Itu dipanggil optik,” katanya.

Menurutnya, perubahan naratif dan persepsi boleh menyebabkan sesuatu yang benar dianggap salah, manakala perkara yang salah pula dinormalisasikan.

“Tauke judi orang tak marah, yang perjuangkan judi orang tak marah. Orang yang marah tauke judi pula orang marah. Orang yang lulus judi orang tak marah.

“Ini kerana proses ini telah melalui persepsi, naratif dan optik. Maka orang letak kebenaran menjadi satu kesalahan, dan kesalahan jadi normalisasi. Kita hanya boleh pegang pada realiti, bukan optik, naratif atau persepsi. 

“Sekarang orang ubah jalan cerita supaya naratif berubah dan optik juga berubah. Benar atas prinsip yang benar, jangan letak benda yang salah di tempat yang betul, benda yang betul dijadikan satu kesalahan atas kepentingan tertentu,” katanya.

Menurut Sanusi, dalam berdepan kemungkaran, masyarakat perlu berpegang kepada prinsip sebenar dan melaksanakan tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.

“Realitinya, bila kita tengok kemungkaran. Pertama, cegah dengan kuasa. Kedua, cegah dengan ucapan. Akhir sekali, cegah dengan hati, rasa benci. Sekarang ini ada kuasa, ada suara, ada hati benci. Tiga-tiga sekali kena jalan serentak,” katanya.

Sebagai Menteri Besar, beliau akan menggunakan ruang dan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan di peringkat negeri, selain bersuara mengenai perkara yang diyakininya benar.

“Saya ada kuasa untuk buat, saya buatlah di peringkat saya. Saya ada ruang untuk bercakap, saya cakap.

“Bila kita bercakap kita nampak siapa yang kita sedang hadapi. Akhirnya kita yang usaha untuk halang perjudian seolah tinggal seorang. Yang lain baik Melayu, Islam, India, semua berkongsi satu pandangan, bersatu hati, dahsyat dunia sekarang,” katanya.

Sanusi berkata, cabaran mempertahankan pendirian mengenai isu perjudian dijangka lebih hebat pada masa akan datang, termasuk berdepan pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Di depan akan lebih hebat lagi cabaran. Siapa berkata benar dikatakan salah, salah dikata benar. Banyak fitnah berleluasa. Orang yang baik dikata jahat, orang jahat dikata baik. Macam-mcam fitnah datang, yang direka-reka, yang di setting dari jauh,” katanya. 

Sebelum ini, Sanusi menjadi perhatian apabila segelintir pihak memutar belit ucapan asal beliau kononnya mendoakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘pecah perut’ berikutan isu lesen perjudian.

Beliau turut dipetik memberi amaran bahawa Perdana Menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.

Bagaimanapun, dalam taklimat khas ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Dewan Seri Mentaloon Selasa lalu, Sanusi merujuk kepada individu yang menaja kes mahkamah berkaitan operator perjudian.

“Saya tahu tauke mana yang sponsor kes mahkamah ini kepada operator-operator. Saya tahu. Dan saya akan sebut nama dia satu hari nanti. Tuan-tuan doalah bagi dia pecah perut. La (sekarang) ni tak boleh sebut. Kes mahkamah tak selesai lagi.

“Kita akan berdoa tiap-tiap hari sebut nama dia, bagi Tuhan bagi dia mampoih pecah perut. Boleh kah buat begitu… boleh pasal hang jahat. Kami tak terdaya dah. Oleh kerana hang kaya. Dunia ni sapa kaya dia ada kuasa. Dan orang yang ada kuasa bergantung di kaki-kaki orang kaya. Lesen judi diberi…,” katanya dalam taklimat tersebut.

Post a Comment

0 Comments