Oleh: Muhammad Rif’aat Razman
Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong
PAS ini wadah untuk ahli masjid bergerak bawa agenda masjid ke tengah masyarakat yang rencam, yang macam-macam perangai, karenah dan pemikiran.
Dalam PAS ni bukan semua ahlinya asyik cakap bab politik ...
Manhaj Gerakan Islam ni dia ada konsep peringkat-peringkat amal (maratibul a'mal)
Bab siyasah ni peringkat mewujudkan kerajaan yang melaksanakan hukum dan nilai ajaran Islam, daripada kerajaan tempatan, kerajaan begeri, kerajaan federal sehingga ke arah berperanan di peringkat antarabangsa sebagai ustaziyatul alam.
Sebelum tu ada peringkat pembentukan keperibadian Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim.
Dalam lajnah Tarbiah, dalam usrah ahli PAS cakap bab islah perbaiki diri, muhasabah amal fardi, pembentukan keluarga dan masyarakat Muslim ...
Dalam PAS ada lajnah Kebajikan yang mengambil peduli urusan kemasyarakatan setempat.
Dalam bidang pendidikan, bawah kelolaan PAS ada PASTI, SRITI, SMITI dan KUIZM, yang fokus soal pendidikan bagi membentuk keperibadian Muslim mengikut acuan Islam.
Dalam Dewan Ulama fikir tentang masalah umat sejagat, dalam dan luar negara.
Begitu juga dewan-dewan lain, seperti Pemuda, Muslimat dan golongan veteran dalam Sabiqun, masing-masing dengan peranan mengikut segmen masyarakat.
Malah golongan bukan Islam pun ada tempat dan peranan dalam PAS melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
PAS bukan bermatlamatkan mengejar kuasa semata-mata, seperti parti politik konvensional yang lain.
Tanpa kuasa politik pun PAS tetap meneruskan agendanya dengan keterbatasan bidang kuasa yang ada.
Tetapi bila dapat kuasa pemerintahan, PAS punya ruang yang lebih luas dan lebih kukuh untuk melaksanakan agendanya.
Bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahul-LAH, ketika beliau belum jadi MB, berceramah merata tentang hukum Islam, pematuhan pakaian tutup aurat misalnya, namun beliau masih tak mampu mengubah masyarakat melalui penguatkuasaan, melainkan hanya menegur dengan lisan sahaja.
Tapi bila ada kuasa sebagai MB, hanya dengan arahan lisan sahaja, ia terus jadi pelaksanaan oleh pegawai-pegawai kerajaan.
Lihatlah di Kelantan, model-model iklan wanita di papan tanda semuanya diwajibkan menutup aurat.
Itulah yang PAS buat apabila beroleh kuasa, dapat buat amar ma'ruf nahy munkar melalui kuasa politik.
Kalau diperhatikan, kebanyakan ahli PAS ialah ahli masjid, dan kebanyakan ahli masjid mereka ialah ahli PAS ataupun sekurang-kurangnya mereka menyokong PAS.
Tak percaya, boleh turun sendiri buat kajian lapangan guna kaedah kuantitatif, buat perbandingan kecenderungan politik ahli-ahli masjid ni ke arah mana?
Ahli masjid bermaksud mereka yang sentiasa mengimarahkan masjid, hati mereka terpaut dengan masjid, bukan ahli jawatankuasa masjid yang kadang-kadang hadir ke masjid waktu mesyuarat agung pemilihan sahaja.
Golongan ni pegang jawatan pun atas tujuan nak halang ahli PAS daripada menguasai jawatankuasa masjid, dan nak sekat penceramah dan ustaz-ustaz PAS daripada masuk mengajar di masjid dan surau, atas alasan tak nak masjid dan surau dikuasai oleh orang politik, dalam bahasa yang lebih berterus-terang, lebih nak sekat pengaruh PAS sebenarnya.
(Bukan semua AJK masjid begini, saya tak buat generalisasi tetapi merujuk kepada beberapa kes yang berlaku).
Ahli dan penyokong PAS ni bukan tak faham profesionalisme sampai tak reti beza peranan dia ketika bekerja sama ada di sektor kerajaan ataupun swasta dan peranan ketika berkhidmat dengan parti.
Ustaz-ustaz PAS pun sama, mereka bukan tak reti beza antara mengajar di meja kuliah masjid dan berceramah di pentas politik.
Atas sebab nak elak daripada berkonfrontasi dengan golongan seperti inilah orang PAS terpaksa mengalah dan akhirnya mereka me'masjid'kan PAS, kerana mereka dihalang untuk berada dalam institusi masjid yang rasmi.
Dalam keadaan orang PAS dah mengalah pun mereka masih dituduh dengan macam-macam sangkaan jahat, buat masjid sendiri lah, solat dua imam lah, ekstrimis takfiri lah, mengkafir-kafirkan orang Islam yang lain lah, pemecah belah masyarakat lah.
Sedangkan fikrah ahli PAS sebagai gerakan Islam berpaksi pada maratibul a'mal tadi.

0 Comments