Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Generasi muda perlu mempunyai pemikiran kritis dan tidak menerima bulat-bulat setiap perkara yang disampaikan kepada mereka, sebaliknya sentiasa mempersoalkan sama ada sesuatu perkara itu benar, wajar dan relevan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, apa yang dilihat, didengar dan berlaku di sekeliling termasuk di sekolah, rumah, masjid, pasar raya serta media sosial akan membentuk budaya dan pemikiran generasi muda.
Menurut beliau, pengaruh pergaulan harian dan kandungan di platform media sosial seperti TikTok serta Facebook turut memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran anak-anak muda.
“Kita lah yang kena sedar. Jangan tanpa pemikiran yang kritis, telan bulat-bulat apa orang beri. Kritis dalam berfikir, banyak bertanya, betul ke, perlukah buat ini, patutkah buat begini.
“Itu dipanggil pemikiran kritis, pemikiran berasaskan persoalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Generasi Pewaris Sejahtera Negeri Kedah 2026 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, pembangunan manusia tidak boleh dilakukan sekali sahaja sebelum anak muda dibiarkan menentukan hala tuju sendiri tanpa bimbingan berterusan.
Sebaliknya, katanya, generasi muda perlu terus dibimbing, selain diberikan ruang dan peluang untuk membina kehidupan serta masa depan mereka.
“Generasi muda ini akan hidup lama lagi, jadi berilah mereka peluang. Jangan bunuh kredibiliti mereka. Kita latih mereka, beri nasihat dan pandangan yang betul, bukan atas kepentingan diri kita.
“Dalam berbudaya mengasaskan sebuah akal fikiran, pastikan persekitaran kita bersih dan tapislah maklumat serta pertahankan apa yang ada,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa boleh berkorban, guru boleh mengajar dan masyarakat boleh membantu, namun perubahan sebenar akhirnya perlu datang daripada diri setiap individu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya sebarang hujah yang dikemukakan berasaskan realiti dan bukan persepsi semata-mata atau sekadar melihat kepada ‘optik’ sesuatu isu.
“Kalau kita betul, pergilah. Tak ada masalah. Masalah orang ini ialah dia tidak betul tetapi dia nak pergi juga, jadi bertembung dan akhirnya menjadi polemik dalam masyarakat,” katanya.
Sanusi berkata, Kedah turut mengambil peranan dalam membangunkan generasi pewaris menerusi Sekretariat Pembangunan Insan Negeri Kedah di bawah portfolio Exco Pembangunan Insan.
Katanya, usaha membina generasi pewaris perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana anak muda yang dibentuk dalam acuan berbeza pada masa ini akhirnya akan berhadapan dan bersaing antara satu sama lain pada masa depan.
“Pertembungan ini akan berlaku. Sebab itu saya kata, kita duduk dalam acuan ini pun tidak boleh terlalu keras, tetapi mesti benar dan naratif kita betul,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak meninggalkan generasi muda dalam keadaan lemah dari segi ilmu, akhlak, jati diri, ekonomi dan kemampuan menghadapi kehidupan.
“Amanah kita adalah memastikan anak-anak ini mendapat ilmu, bimbingan, peluang dan keyakinan yang mencukupi supaya suatu hari nanti mereka mampu berdiri dengan kekuatan mereka sendiri,” katanya.
Sanusi turut menyeru ibu bapa, pendidik, pemimpin dan seluruh masyarakat supaya melihat generasi pewaris dengan penuh amanah dan hikmah kerana tanggungjawab membina generasi bukan terletak pada satu pihak sahaja, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama.
“Kepada anak-anak Generasi Pewaris Sejahtera, saya doakan kalian terus melangkah maju. Binalah cita-cita, keyakinan, ilmu, akhlak dan paling penting, binalah diri.
“Binalah diri menjadi manusia yang bersedia memikul amanah apabila tiba waktunya nanti,” katanya.

0 Comments