KEDAH MAHU BANGUNKAN SLAM MELALUI PFI, TIDAK BERGANTUNG KEPADA PERUNTUKAN KERAJAAN PUSAT

 


Ku Azizah Ku Hamid 

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan membangunkan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) sebagai kawasan ekonomi baharu menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dengan mendapatkan rakan pelabur strategik, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pembangunan kawasan perindustrian dan ekonomi strategik seperti di Sidam sepatutnya mempunyai sumber pembiayaan khusus dan tidak perlu bergantung kepada peruntukan yang dikhaskan untuk sektor pertanian.

Jelasnya, permohonan peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan ialah merupakan tuntutan berasingan bagi sektor pertanian sebagai pampasan atas komitmen Kedah mengekalkan status Jelapang Padi Negara, dengan menyumbang 43 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi negara.

“Jumlah berkenaan wajar diberikan kepada petani Kedah memandangkan anggaran RM200 juta bagi kawasan tanaman padi seluas kira-kira 200,000 hektar hanya bersamaan sekitar RM1,000 bagi setiap hektar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bau Wong a/l Bau Ek (PH - Sidam) yang mencadangkan supaya peruntukan RM200 juta yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan bagi sektor pertanian digunakan untuk membangunkan SLAM, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambahnya, cadangan pembangunan SLAM tidak melibatkan permohonan dana Kerajaan Persekutuan, sebaliknya dirancang menerusi pendekatan PFI dengan mencari rakan strategik yang bersedia melabur.

“Kalau Kerajaan Negeri mempunyai fikiran untuk menggunakan wang pampasan petani bagi membangunkan SLAM, saya rasa lemahlah kerajaan ini. Kerajaan mempunyai banyak dana yang boleh disalurkan dan kita sepatutnya merangka strategi untuk membangunkan kawasan industri strategik seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau membangkitkan persoalan berhubung perbezaan pendekatan terhadap cadangan pembangunan infrastruktur di Kedah berbanding projek Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang yang melibatkan kos sehingga RM17 bilion.

“RM17 bilion wang rakyat dicurahkan untuk membangunkan LRT. Kedah pula tidak meminta wang Kerajaan Persekutuan, kita mahu membangunkannya sendiri dengan inisiatif kita sendiri.

“Tetapi PFI kita tidak diluluskan. Inilah yang menunjukkan ‘double standard’ dan zalimnya kerajaan hari ini, yang tidak mempunyai jiwa negarawan dalam membangunkan negeri dan negara kita,” katanya.

Post a Comment

0 Comments