PELABURAN KILANG SIB ZZT RM500 JUTA, BUKA PELUANG PEKERJAAN BERKEMAHIRAN TINGGI DI GURUN


 Oleh: Roslinda Hashim 

GURUN - Pelaburan kilang pembuatan SIB ZZT Sdn. Bhd. sebanyak RM500 juta memperkukuh kedudukan Kedah sebagai hab industri berteknologi tinggi khususnya dalam sektor tenaga dan komponen berkaitan kenderaan elektrik (EV).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaburan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan RM100 juta bagi fasa pertama, manakala fasa kedua dan ketiga masing-masing melibatkan pelaburan RM200 juta.

Menurut beliau, kemudahan industri berteknologi tinggi itu menggunakan sistem automasi sepenuhnya, dengan mesin-mesin berteknologi tinggi dibekalkan oleh rakan kerjasama dari China, Zhejiang Zhongze Precision Technology Co. Ltd. (ZZ Tech).

“Ini satu industri baharu dalam sektor tenaga diperbaharui. Hari ini banyak sektor menggunakan bateri khususnya dalam tenaga dan menggerakkan kenderaan, yang menjadi teknologi masa depan.

“Kita alu-alukan kehadiran mereka di Gurun untuk merancakkan lagi sektor industri di Kedah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kilang pembuatan SIB ZZT Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Sanusi berkata, pelaburan strategik kerjasama ZZ Tech dengan Sapura Industrial Berhad (SIB) itu memberi manfaat besar kepada rakyat Kedah menerusi peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

“Kita sediakan peluang pekerjaan dari fasa satu sehingga fasa ketiga, untuk anak-anak Kedah. Mereka akan mendapat peluang pekerjaan berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi dalam industri ini,” katanya.

Dalam ucapan perasmian sebelum itu, Sanusi berkata, pembukaan SIB ZZT merupakan antara kejayaan Kedah menarik pelaburan berkualiti dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan industri bernilai tinggi.

Katanya, perkembangan itu turut membuktikan keyakinan berterusan industri global terhadap Kedah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara destinasi utama pembangunan industri di Malaysia.

“Kerajaan Negeri mewujudkan persekitaran mesra perniagaan yang menyokong pelaburan, menggalakkan inovasi dan memudah cara pembangunan industri dalam jangka panjang.

“Kita mengalu-alukan projek yang mewujudkan nilai berkekalan kepada negeri ini, selain menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sanusi berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara Malaysia dan China, selain menggalakkan perkongsian pengetahuan, kemajuan teknologi serta kerjasama jangka panjang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Permintaan terhadap teknologi tenaga maju serta pembuatan berketepatan tinggi akan terus meningkat.

“Kilang ini menyediakan pekerjaan berkemahiran serta merangsang pertumbuhan ekonomi di luar pusat-pusat perindustrian sedia ada. Seterusnya mengukuhkan lagi peranan Kedah sebagai antara penyumbang rantaian bekalan pembuatan global, selain menggalakkan inovasi, pemindahan teknologi serta pembangunan industri jangka panjang,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan SIB ZZT memberi tumpuan kepada pengeluaran komponen berketepatan tinggi bagi aplikasi tenaga menggunakan teknologi pembuatan pintar, automasi serta kebolehkesanan digital yang canggih.

Sementara, Pengarah Urusan SIB, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin memaklumkan, fasa pertama operasi menyediakan 70 peluang pekerjaan, khususnya kepada individu berkelulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, jumlah itu meningkat sebanyak 152 bagi fasa kedua, manakala bagi fasa ketiga masih dalam penilaian berdasarkan jenis pekerjaan yang boleh dilokalkan.

“Kebanyakan pekerjaan ini berpendapatan tinggi, selain pekerja pengeluaran, sektor penelitian, pengujian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Beliau berkata, proses pemindahan teknologi daripada rakan strategik China sudah dimulakan sejak fasa pertama.

“Fasa kedua dijangka dimulakan selepas operasi pengeluaran besar-besaran fasa pertama kerana kapasiti kilang telah capai tahap maksimum. Fasa pertama berjaya disiapkan dalam tempoh 10 bulan, fasa kedua disasarkan mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

“Sebahagian pekerja dihantar menjalani latihan, selain ada tenaga kerja dibawa masuk bagi memberi latihan berkaitan teknologi dan pengendalian mesin berkapasiti tinggi. Proses ini dijangka berlaku dalam masa setahun,” katanya.

Syed Izuan berkata, bagi fasa pertama, 100 peratus pengeluaran disasarkan untuk eksport, termasuk produk berkaitan EV yang kebanyakannya dihantar kepada Tesla untuk kegunaan sistem penyimpanan tenaga.

Katanya, kapasiti pengeluaran fasa pertama disasarkan 30,000 unit sehari, manakala fasa kedua akan mencapai kapasiti sehingga 90,000 unit sehari.

Post a Comment

0 Comments