KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
Pemuda PAS Malaysia kesal dengan kenyataan tidak tepat oleh Kementerian Kewangan (MOF) mengenai lesen perjudian di Kedah sehingga mencetuskan salah faham terhadap Kerajaan Negeri Kedah. Setelah diteliti, kenyataan MOF tersebut adalah mengenai lesen baharu, sedangkan apa yang disentuh adalah lesen pertaruhan kumpulan yang diperbaharui setiap tahun.
Kerajaan Negeri Kedah telah mengumumkan usaha untuk mensifarkan premis judi di negeri tersebut sejak 14 November 2021. Malah, Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 8 Disember 2021 turut menetapkan bahawa Kerajaan Negeri tidak meneruskan pemberian lesen premis perjudian bermula 1 Januari 2023.
YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menghantar wakil untuk berunding dengan MOF supaya lesen di bawah Akta Pertaruhan Kumpulan (PBA 1967) tidak diteruskan bagi tahun 2023. Walau bagaimanapun, fakta mahkamah menunjukkan MOF masih meneruskan pemberian lesen bagi tahun 2023.
Ironinya, MOF mengeluarkan kenyataan tidak pernah mengeluarkan lesen baharu perjudian. Sedangkan apa yang dibangkitkan bukan mengenai lesen baharu tetapi lesen sedia ada yang diperbaharui setiap tahun.
Pemuda PAS Malaysia berpandangan seharusnya MOF bertanggungjawab terhadap kenyataan yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Tidak wajar sebuah Kementerian mengeluarkan kenyataan yang sekadar mengeruhkan suasana yang ada.
Bahkan, asasnya pemberian lesen oleh MOF itulah yang menjadi punca kepada pertikaian mahkamah oleh pihak syarikat loteri dan judi. Tidak perlulah mengalihkan perhatian terhadap PAS semula kerana usaha membanteras judi wajar disokong tanpa rasa prejudis terhadap mana-mana pihak.
Pemuda PAS Malaysia juga ingin mengajak semua pihak supaya bersatu hati bersama Kerajaan Negeri Kedah serta negeri-negeri lain yang memansuhkan lesen premis judi mereka. Malangnya ada pihak yang kelihatan tidak senang dengan pendirian Kerajaan Negeri Kedah. Sesunggguhnya dasar sifar judi wajar dipertahan bagi memastikan sosial masyarakat terus terpelihara, insya-Allah.
Sekian.
#TerusMemimpin
#PemudaPAS

0 Comments