Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah masih mempunyai pelbagai ruang perundangan untuk menyekat pengoperasian premis perjudian di negeri ini walaupun tewas dalam kes berkaitan arahan tidak memperbaharui lesen perjudian.
Peguam yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), termasuk mengetatkan syarat lesen, menetapkan zon dan meningkatkan fi.
“Ini bukan noktahnya. Banyak cara lagi boleh buat. Gunalah setiap ruang yang dibolehkan di bawah Seksyen 107 Akta 171 untuk menyusahkan operator judi.
“Walaupun kalah, tak perlu kecewa. Dalam undang-undang ini, akan sentiasa ada ruang untuk membuat ikhtiar baharu,” katanya ketika berucap pada taklimat khas penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi di Kedah’ di Seri Mentaloon.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai ahli panel.
Wan Rohimi berkata, ahli majlis PBT perlu menggunakan kepakaran dan kuasa yang ada untuk mengetatkan syarat, menetapkan zon premis perjudian, meningkatkan fi serta mengambil langkah-langkah lain yang dibenarkan undang-undang.
“Antaranya, buat sekatan supaya premis judi tidak boleh berada dalam radius tertentu daripada pusat ibadat atau pusat keramaian. Boleh juga pasang papan tanda judi itu haram, itu semua adalah kuasa PBT yang boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, perkara tersebut selari dengan pandangan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Faizah Jamaludin, dalam penghakiman kes berkenaan yang antara lain menyatakan PBT mempunyai hak untuk tidak menyambung lesen perjudian berdasarkan alasan munasabah.
“Hakim Faizah nyatakan PBT ada hak untuk tidak menyambung lesen judi atas alasan yang munasabah, contohnya lakukan perancangan atau zon premis judi. Jadi mungkin boleh zonkan kawasan judi ke kawasan tertentu, kawasan lain tidak boleh,” katanya.
Wan Rohimi turut memetik alasan lain yang dinyatakan dalam penghakiman termasuk aspek keselamatan, kesihatan awam, kacau ganggu, lalu lintas dan ketidakpatuhan terhadap syarat bangunan atau premis.
“Walaupun Hakim Faizah nyatakan Kedah tidak berhak membuat arahan itu, keputusan ini tidak semestinya terpakai kepada syarikat atau kumpulan lain kerana PBT masih mempunyai caranya.
“Maknanya, Hakim Faizah juga mengiktiraf kuasa PBT yang dikawal oleh Akta 171,” katanya.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025, melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Negeri Kedah tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan majoriti itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Lim Hock Leng, dan Datuk Faizah Jamaludin, menolak rayuan difailkan Kerajaan Negeri Kedah atas alasan tiada merit manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, menentang keputusan itu.
Wan Rohimi berkata, Hakim Azizah dalam alasan penghakimannya pula berpandangan kuasa Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan am kepada PBT, termasuk berkaitan tidak memperbaharui lesen perjudian apabila tamat tempoh, merupakan kuasa negeri.
“PBT melalui budi bicaranya boleh enggan membenarkan apa-apa lesen kepada premis, ataupun enggan menyambung apa-apa lesen premis tanpa memberikan apa-apa alasan.
“Kita tak boleh mengandaikan arahan am kepada PBT dalam melaksanakan tanggungjawab Akta 171 itu, sebagai cubaan untuk campur tangan kuasa Menteri Kewangan dalam meluluskan judi. Lesen judi hanya Menteri Kewangan sahaja boleh luluskan, Menteri Kewangan sekarang juga adalah Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Hakim Azizah juga menyatakan keputusan kerajaan Kedah dalam mesyuarat MMK pada 8 Disember 2023 untuk mengarahkan PBT supaya tidak memperbaharui lesen adalah keputusan bersifat dasar kerajaan.
“Pandangan itu penting kerana dasar berkaitan kesejahteraan masyarakat merupakan bidang eksekutif dan bukan sesuatu yang sepatutnya ditentukan oleh mahkamah kerana mahkamah tidak mempunyai kepakaran menentukan dasar dan polisi,” katanya.
Wan Rohimi menggesa ahli-ahli majlis PBT supaya tidak berputus asa sebaliknya mencari ruang perundangan yang masih tersedia bagi menyekat perkembangan operasi perjudian di negeri ini.
“Bangkitlah semula. Kumpulkan semua ahli majlis, fikirlah, buatlah macam mana cara pun. Kita guna ruang-ruang yang ada. Jangan berputus asa.
“Tauke judi ini, bila kita susahkan mereka, akhirnya dia akan lari. Sebab dia berniaga nak untung. Kalau dia rugi, dia akan lari,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan perlu dilakukan dalam kerangka undang-undang yang tersedia sehingga kerajaan memperoleh ruang lebih besar untuk melaksanakan dasar berkaitan perjudian.
“Buatlah supaya tauke-tauke judi berambus daripada Kedah dan tak boleh cari makan dalam kerangka kuasa yang ada, sehinggalah kita berupaya ambil alih Putrajaya,” katanya.
Wan Rohimi berkata, isu berkenaan perlu dilihat lebih luas sebagai sebahagian daripada perbahasan mengenai kedudukan undang-undang Islam dan syariah di negara ini.
“Paling penting orang Islam perlu faham ini adalah sebahagian daripada episod serangan terhadap undang-undang Islam dan syariah untuk melemahkan sendi-sendi agama kita,” katanya.

0 Comments