“UNDI BN DI KERUSI TIDAK DITANDINGI CALON PN” - SANUSI

 

SASARAN KALAHKAN PH

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Penyokong PAS hanya diminta mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, gesaan itu hanya melibatkan kawasan yang tidak ditandingi PN dan bukannya bertujuan memastikan kemenangan BN, sebaliknya bagi menghalang PH daripada beroleh kemenangan.

"Di tempat PAS tak bertanding, yang juga wakil PN tak bertanding, kita kata undilah BN supaya PH tak menang. Sasaran kita bukan untuk bagi BN menang, tetapi bagi PH kalah.

"Kawasan yang PAS tak bertanding tetapi BERSATU bertanding, undilah PN. Kawasan itu memang kerusi PN. Yang PN tak bertanding, undilah BN. Saya kata macam itu supaya PH tak menang. Kalau campur semua, takkanlah tak menang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kedah Kali Ke-49 di sini, hari ini.

Menurut Pengerusi PN Kedah itu, persetujuan itu dibuat khusus bagi kerusi yang tidak ditandingi PN dengan matlamat mengelakkan perpecahan undi sehingga memberi kelebihan kepada PH.

"Sasaran kita nak kalahkan PH. Pakatan kita dengan persetujuan untuk di kawasan PN tak bertanding saja supaya pengundi keluar mengundi BN untuk mengalahkan PH.

"Beban bala PH itu lebih besar daripada undi BN. Jadi kena kalahkan PH. Kalau tak cukup undi, tak menanglah," katanya.

Sanusi berkata demikkian ketika diminta mengulas kenyataan penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali yang berpandangan, sokongan terbuka PAS kepada BN belum menjamin kemenangan mudah parti itu dalam PRN Johor.

Menurut beliau, kadar keluar mengundi dijangka menjadi faktor utama penentu keputusan pilihan raya, walaupun sokongan PAS mampu memberi kelebihan kepada BN dalam meraih undi Melayu, ia belum mencukupi sekiranya peratusan keluar mengundi lebih memihak kepada PH.

Katanya, di kerusi dua penjuru, pendirian PAS yang secara terbuka menyatakan tidak akan membantu BERSATU dijangka menyebabkan sebahagian undi penyokong parti itu beralih kepada BN.

Post a Comment

0 Comments