MENTERI KEWANGAN WAJIB BERTANGGUNGJAWAB, PENGERUSI KWAP PERLU DIREHATKAN

 

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Oleh: Afnan Hamimi bin Dato' Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar

Pemuda PAS Malaysia memandang serius isu pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan dana persaraan negara berdepan kerugian berjumlah RM163.4 juta.

Kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara yang sekadar menggesa SPRM menjalankan siasatan amat mengecewakan. Rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan.

Alasan bahawa KWAP masih mencatat keuntungan berbilion ringgit langsung tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memperkecilkan kehilangan RM163.4 juta. Setiap ringgit dana persaraan adalah amanah kepada rakyat, bukannya angka yang boleh dipandang ringan.

Sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik. Beliau mesti tampil memberi penjelasan yang menyeluruh, bukannya sekadar memberikan jawapan bersifat teknikal.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar:

* Pengerusi KWAP direhatkan sementara siasatan dijalankan.
* Satu siasatan bebas dan telus dilaksanakan terhadap keseluruhan proses pelaburan tersebut.
* Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan atas kegagalan memastikan tadbir urus institusi kewangan negara berada pada tahap yang sewajarnya.

Kehilangan RM163.4 juta bukan sekadar isu pelaburan, tetapi isu kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara. Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan.

 #TerusMemimpin #PemudaPAS

Post a Comment

0 Comments