ISHAM JALIL SERTAI PAS, TERUSKAN PERJUANGAN DEMI KEPENTINGAN MELAYU, ISLAM

 

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengumumkan beliau secara rasmi memohon menyertai PAS selepas hampir tiga tahun bergerak tanpa parti politik.

Isham berkata, mengambil berkat hari Jumaat lalu (10 Julai), beliau telah mengisi dan menghantar borang permohonan untuk menjadi ahli PAS sebagai langkah meneruskan perjuangan politiknya.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas menilai PAS sebagai wadah paling sesuai untuk meneruskan perjuangan orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Setelah tiga tahun tidak berparti, saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan bersama PAS. PAS adalah tempat orang-orang Islam dan orang-orang Melayu berlindung kini," katanya, menerusi hantaran di Facebook milknya.

Menurut Isham, perjalanan politiknya bermula sejak kecil apabila membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Gombak dengan menampal poster kira-kira 40 tahun lalu sebelum aktif bersama UMNO, sehinggalah dipecat daripada parti itu tiga tahun lalu.

“Perjalanan politik saya panjang dan mencabar. Selepas dipecat oleh Presiden UMNO tiga tahun lalu, saya berjuang secara bebas selama tiga tahun sehingga saya memilih untuk sertai PAS,” katanya.

Tambah beliau, tempoh tidak berparti itu memberi ruang kepada beliau untuk menilai hala tuju perjuangan sebelum memilih PAS sebagai platform baharu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua sahabat seperjuangan saya selama ini dalam UMNO dan kini dalam PAS termasuk rakan dari parti-parti lain, juga kepada yang tidak berparti tetapi bersama-sama dalam perjuangan kita selama ini. Saya tidak akan lupakan anda semua,” katanya.

Dalam pada itu, Isham menyuarakan harapan agar PAS dan UMNO dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan serta Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai langkah ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ummah di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, penyatuan orang Melayu perlu menjadi keutamaan kerana ia menjadi asas kepada usaha memperkukuh penyatuan nasional.

"Saya ingin lihat orang-orang Melayu bersatu padu kembali di negara ini. Untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam penyatuan nasional, orang Melayu perlu bersatu dahulu sebab Melayu adalah majoriti di negara ini. 

“Untuk menyatukan orang Melayu, parti-parti Melayu yang besar mahupun kecil perlu bersatu padu. 

Jika orang Melayu sebagai majoriti berpecah, penyatuan nasional tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau juga yakin PAS sebagai parti Melayu terbesar ketika ini mampu menggalas tanggungjawab memimpin usaha ke arah penyatuan ummah dan penyatuan nasional.

“PAS adalah parti yang paling bersih dari rasuah di negara ini. Untuk membersihkan negara ini dari rasuah dan salah guna kuasa, kita perlu angkat pemimpin dan kerajaan dari parti yang bersih dari rasuah,” katanya.

Selain itu, Isham percaya PAS mampu membawa perubahan sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

"Saya percaya jika diberi kuasa dan amanah untuk memimpin negara ini, PAS akan memberi sinar baharu serta contoh teladan yang baik ke arah penghapusan rasuah di negara ini.

“Ini bukan sahaja penting kepada orang Melayu dan Islam, malah kepada semua rakyat Malaysia termasuk bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya.

Isham tegaskan akan terus bersama PAS dalam memperjuangkan agenda penyatuan ummah, penyatuan nasional serta usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

“Saya akan terus berjuang bersama PAS ke arah penyatuan ummah dan penyatuan nasional, serta menghapuskan rasuah secara tuntas di negara ini. Saya berdoa semoga ALLAH SWT merahmati perjuangan kita semua,” katanya.

Post a Comment

0 Comments