Oleh: Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Polis diminta menyiasat dan mengambil tindakan terhadap seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor kerana didakwa menyebarkan kenyataan palsu mengaitkan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan ucapan berbaur perkauman yang tular di media sosial.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, laporan polis dibuat susulan penyebaran sebuah video di media sosial yang mengandungi kenyataan tidak benar oleh Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Menurutnya, individu berkenaan mendakwa Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘kalau India baliklah India, Cina baliklah China’ ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Bandar Sri Jempol pada Khamis lalu.
“Saya menyedari kewujudan video berkenaan pada hari Sabtu sewaktu berada di rumah dan melihat melalui telefon pintar saya, satu video memuatkan kenyataan tidak benar mengenai Menteri Besar Kedah, sedang disebarkan.
“Video itu memaparkan seorang lelaki membuat kenyataan di hadapan sebuah balai polis dan menyebut Dato' Seri Muhammad Sanusi berucap ‘kalau India baliklah India, Cina baliklah China’, sedangkan Menteri Besar langsung tidak menyebut perkataan itu dalam ucapannya.
“Saya sendiri hadir dan berada di hadapan pentas ketika beliau menyampaikan ceramah pada malam tersebut.
“Laporan polis ini dibuat kerana individu berkenaan membuat kenyataan tidak benar dan memfitnah Menteri Besar sehingga tular di media sosial, serta membentuk persepsi salah terhadap beliau," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.
Muhamad berkata, pihaknya menggesa polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit kerana dakwaan tersebut disifatkan sebagai fitnah yang boleh mengundang implikasi serius.
"Kita minta polis siasat dan ambil tindakan terhadap individu ini bawah Akta Hasutan. Pada saya, kenyataan tidak benar seperti ini sangat provokatif dan boleh mendatangkan implikasi buruk terhadap ketenteraman awam serta hubungan antara kaum.
"Apabila seseorang mengaitkan Menteri Besar dengan kenyataan yang tidak pernah disebutnya, ia berpotensi mencetuskan perbalahan dan ketegangan antara kaum.
"Malah, ia turut menjadikan Menteri Besar serta keluarganya sasaran kebencian dan kemarahan masyarakat berdasarkan dakwaan yang tidak benar," katanya.
Pada Khamis, dalam Ceramah Umum Perdana PN-BN di DUN Serting, Menteri Besar Kedah itu dipetik menyampaikan ucapan, antara lain menyebut, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

0 Comments