Oleh: Muhamad Mat Yakim
Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU menandakan satu perubahan besar dalam strategi politik parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Walaupun kenyataan rasmi PAS masih membuka ruang kepada persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya atas prinsip penyatuan ummah, hakikatnya keputusan tersebut menunjukkan PAS kini sedang menilai semula kedudukannya dalam landskap politik negara.
Sejak tertubuhnya Perikatan Nasional (PN), PAS dan BERSATU saling melengkapi. PAS membawa kekuatan akar umbi Melayu-Islam yang tersusun, manakala BERSATU menyediakan faktor kepimpinan nasional serta pengaruh di kawasan-kawasan campuran yang lebih sukar ditembusi PAS.
Namun kebelakangan, khususnya sejak tercetus isu Menteri Besar Perlis yang menyaksikan Cikgu Mohd Shukri Ramli dari PAS digugurkan dan diganti Abu Bakar ‘The Sharp Shooter’ Hamzah dari BERSATU, hubungan kedua parti ibarat retak menanti belah.
Dalam beberapa keadaan, PAS dilihat semakin dominan dalam PN, manakala BERSATU berdepan cabaran dalaman dan penyusutan pengaruh.
Justeru, keputusan menghentikan kerjasama politik boleh ditafsirkan sebagai usaha PAS untuk bergerak secara lebih bebas dan menentukan hala tuju sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana parti lain.
Jelas bahawa isu-isu dalaman BERSATU banyak mengheret PAS ke dalam kemelut yang tidak berkesudahan. Terus bersama BERSATU akan mengganggu perjalanan menjelang PRU-16.
Pemecatan ahli oleh BERSATU termasuk wakil rakyat dan mereka yang mempunyai pengaruh dilihat seperti menggali lubang kubur sendiri yang dibimbangi akan menjerumuskan rakan sekutu termasuk PAS ke dalam kekalahan.
Justeru, menghentikan kerjasama dengan parti itu dinilai oleh pemerhati bukan langkah ke belakang, sebaliknya persediaan awal PAS untuk menghadapi PRU-16 dengan pendekatan baharu yang lebih fleksibel.
Dengan mengekalkan konsep “electoral pact”, PAS tidak menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk UMNO, sekiranya wujud keserasian politik yang mampu mengelakkan pertembungan sesama parti Melayu.
Bagi PAS, cabaran terbesar selepas ini ialah membuktikan bahawa kekuatan parti itu tidak bergantung kepada BERSATU. PAS perlu menunjukkan bahawa kejayaannya dalam beberapa pilihan raya lalu bukan semata-mata hasil gabungan PN, tetapi berpunca daripada kekuatan organisasi, jentera serta sokongan akar umbinya sendiri.
Dalam masa yang sama, PAS juga perlu memikirkan strategi untuk menembusi lebih banyak kerusi campuran dan bandar yang sebelum ini banyak dibantu oleh faktor gabungan serta sokongan kepada tokoh-tokoh tertentu dalam PN.
Sekiranya PAS berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai parti teras politik Melayu-Islam dan pada masa yang sama membina persefahaman pilihan raya yang berkesan dengan pihak-pihak lain, keputusan menamatkan kerjasama dengan BERSATU mungkin menjadi titik permulaan kepada penyusunan semula kuasa politik Melayu menjelang PRU-16.
Sebaliknya, jika perpecahan ini membawa kepada pertandingan tiga penjuru atau pertembungan sesama parti Melayu, pihak yang paling mendapat manfaat berkemungkinan ialah Pakatan Harapan dan parti-parti kerajaan yang lain.
Apa pun, keputusan yang diumumkan PAS pada jam 11.30 malam 8 Jun 2026 bukan sekadar menamatkan satu kerjasama politik. Ia mungkin menjadi petanda kepada kelahiran satu formula politik baharu yang bakal mencorakkan persaingan menjelang PRU-16.

0 Comments