Oleh: Roslinda Hashim
SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, pada 13 Jun lalu.
Haim Hilman yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, Haim Hilman, 53, didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam, antara 8 malam hingga 12 tengah malam, pada 13 Jun di Markas PAS Seremban, Jalan Jelebu di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Ku Hayati Ku Haron yang mengendalikan kes berkenaan mencadangkan OKS dikenakan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Mohd Fauzi Che Abu yang mewakili Haim Hilman mohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 serta memaklumkan OKS yang merupakan EXCO Kerajaan Negeri Kedah, kerap menggunakan pasport bagi menjalankan urusan rasmi kerajaan.
Mohd. Fauzi turut membantah permohonan penyerahan pasport atas faktor kes didaftarkan di bawah saman jenayah, yang mana kelazimannya dokumen perjalanan akan diserahkan kepada mahkamah untuk kesalahan lebih serius melibatkan pengubahan wang haram.
“OKS juga hadir ke mahkamah untuk prosiding hari ini atas kerelaan sendiri untuk membersihkan namanya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa syarat tambahan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai ini.
Pada 15 Jun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman susulan kenyataannya berkaitan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).
Ia dikaitkan dengan kenyataan beliau bahawa terdapat universiti awam ‘menjual tempat’ kepada pelajar berkemampuan serta wujud puluhan ribu kemasukan pelajar melalui saluran yang beliau istilahkan sebagai ‘pintu belakang’.

0 Comments