Kenyataan Media
Alhamdulillah, proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor telah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi Perikatan Nasional (PN). Sehubungan itu, saya telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Kini adalah masanya untuk semua parti komponen, kepimpinan dan jentera PN memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya. Keutamaan kita ialah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor.
Saya mengambil maklum kenyataan media Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bertarikh 23 Jun 2026 berhubung beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Saya ingin menegaskan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama. Setiap parti anggota, termasuk BERSATU, mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat.
Namun, apabila sesuatu ketetapan telah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya. PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.
Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir.
Mengenai penggunaan simbol PN dalam Pilihan Raya Negeri Johor, saya ingin menegaskan bahawa penggunaan simbol PN datang bersama tanggungjawab politik. Mana-mana parti yang diberikan amanah bertanding menggunakan simbol PN hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi.
Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Pengerusi Perikatan Nasional
25 Jun 2026

0 Comments