PN RANCANG JELAJAH NEGARA PERJELAS DASAR, SELEPAS PRN BERAKHIR

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan siri jelajah penerangan ke seluruh negara sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai bagi menjelaskan dasar-dasar utama yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk menerajui negara.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu akan membabitkan penyertaan tokoh-tokoh utama daripada enam parti komponen gabungan berkenaan iaitu, PAS, BERSATU, GERAKAN, MIPP, PEJUANG dan Parti Cinta Malaysia (Wawasan Negara).

Menurut beliau, jelajah tersebut bertujuan memberi penerangan secara langsung kepada rakyat mengenai hala tuju dan tawaran dasar PN sebagai alternatif kepada pentadbiran sedia ada.

“PN berhasrat menghuraikan dasar-dasar utama yang akan dilaksanakan apabila diberi mandat untuk mengambil alih kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini beberapa kumpulan pakar sedang menjalankan penyelidikan serta menggubal dasar baharu berdasarkan arahan dan panduan daripada Pengerusi PN, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, usaha itu sejajar dengan hasrat PN untuk memperkasa serta memperkemaskan urus tadbir gabungan berkenaan, sekali gus bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti politik yang dipacu oleh dasar atau policy-driven.

“Sekurang-kurangnya 10 domain dasar utama telah dikenal pasti dan dibentangkan pada peringkat awal sebelum diperhalusi serta dimuktamadkan,” katanya.

Menurut beliau, antara bidang yang diberi tumpuan termasuk perpaduan kaum, keadilan sosial, pertumbuhan ekonomi, kemajuan pendidikan, tadbir urus serta integriti.

Tambahnya, PN berazam menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai masalah negara yang disifatkan gagal diurus dengan baik ketika ini menerusi pendekatan dasar yang lebih menyeluruh dan berkesan.

“Insya-ALLAH, PN mahu tampil dengan penyelesaian yang mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments