KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
29 JUN 2026 | 13 MUHARRAM 1448H
Oleh: Nadzir Helmi
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Pemuda PAS mengambil maklum perhatian yang begitu besar diberikan terhadap setiap kenyataan pimpinan PAS, khususnya melibatkan hala tuju politik menjelang Pilihan Raya Negeri Johor. Sama ada daripada rakan-rakan dalam Perikatan Nasional mahupun pihak lawan seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, setiap pendirian PAS terus menjadi perhatian umum.
Kenyataan Timbalan Presiden PAS mengenai kesediaan memberi undi kepada calon Barisan Nasional di kawasan yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional perlu difahami dalam konteks strategi politik yang lebih besar. Matlamat utamanya ialah memastikan dominasi Pakatan Harapan, khususnya pengaruh DAP sebagai parti terbesar dalam gabungan itu, dapat disekat demi menjaga kepentingan rakyat dan masa depan Negeri Johor.
Pemuda PAS berpandangan bahawa strategi memecahkan penguasaan Pakatan Harapan merupakan satu keperluan yang mesti difahami oleh semua pihak. Dalam suasana politik hari ini, setiap undi mempunyai nilai strategik untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri selepas pilihan raya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS menegaskan bahawa kewajipan utama setiap ahli PAS ialah turun mengundi serta memastikan kemenangan semua calon Perikatan Nasional. Undi ahli PAS wajib diberikan kepada semua calon yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional tanpa mengira parti komponen yang diwakili.
Dalam masa yang sama, sebarang pertimbangan mengundi calon selain Perikatan Nasional di kerusi tertentu hendaklah dilihat sebagai strategi politik yang bertujuan menghalang kemaraan Pakatan Harapan. Strategi tersebut bukan dasar umum dan boleh berubah mengikut keperluan serta perkembangan semasa.
Keutamaan PAS tetap konsisten, iaitu memperkukuhkan penguasaan politik Melayu-Islam, memastikan kemenangan Perikatan Nasional sebanyak mungkin, serta menghalang Pakatan Harapan dan DAP daripada menguasai Negeri Johor. Inilah pendirian yang sentiasa menjadi asas pertimbangan PAS dalam setiap keputusan politik.
Pemuda PAS menyeru seluruh ahli dan penyokong agar tidak terpengaruh dengan naratif yang cuba mengelirukan masyarakat. Kekalkan disiplin perjuangan, patuhi arahan parti, dan utamakan kemenangan Perikatan Nasional sebagai agenda utama dalam Pilihan Raya Negeri Johor.
Undi wajib kepada Perikatan Nasional. Strategi politik di kerusi lain bertujuan mengekang kemaraan Pakatan Harapan. Keutamaan kita tetap sama iaitu mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan masa depan Johor.
#TerusMemimpin
#PemudaPAS

0 Comments