PRN JOHOR: PAS, BERSATU, GERAKAN, MIPP SEPAKAT GUNA LOGO PN
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kesemua parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor sepakat untuk menggunakan logo gabungan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perbincangan yang dihadiri oleh pemimpin parti komponen itu membincangkan isu logo selepas PAS memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Insya-ALLAH kita akan guna logo PN. Rundingan ini pasal logo PN, bukan benda lain. Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Agihan Kerusi PN bagi PRN Johor, di sini pada Selasa.
Berdasarkan keputusan tersebut, keempat-empat parti utama yang menganggotai PN, iaitu PAS, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan bertanding menggunakan logo PN di Johor.
Sanusi berkata, rundingan agihan kerusi melibatkan empat parti komponen itu berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang pertikaian.
“Alhamdulillah, rundingan berjalan lancar dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua parti yang terlibat.
“Tiada gaduh, tiada baling kerusi atau pecah meja. Itu ‘wrestling’, ini rundingan. Kita datang untuk berunding, bukan untuk bergusti,” katanya dengan nada berseloroh.
Tambah beliau, semua parti telah mengemukakan senarai kerusi yang ingin ditandingi untuk dipertimbangkan dalam rundingan.
Katanya, proses tersebut kini berada pada peringkat perbincangan bagi mencari formula terbaik sebelum keputusan muktamad dibuat oleh kepimpinan PN.
“Rundingan pembahagian kerusi melibatkan empat komponen lancar. Kita kemukakan senarai masing-masing dan mereka juga mengemukakan senarai mereka.
“Berdasarkan kepada itu, kita akan berunding bagi mendapatkan penyelesaian terbaik. Semua pihak termasuk dua parti baharu (PEJUANG, PCM) turut mengemukakan senarai kerusi yang mereka inginkan,” katanya.
Sanusi memaklumkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan diteruskan sebelum PN membuat keputusan berhubung calon yang bakal diketengahkan.
“Tugas saya adalah berunding, manakala keputusan muktamad akan ditentukan oleh pimpinan PN.
“Selepas rundingan kerusi selesai, kita akan umumkan calon sebelum hari penamaan calon,” ujarnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas bantahan BERSATU mengenai penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin, Sanusi enggan mengulas lanjut kerana perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya.
“Yang itu saya tiada locus standi untuk jawab sebab ia diputuskan dalam mesyuarat PN (semalam). Terserah kepada pandangan masing-masing.
“Perkara semalam sudah selesai dan tidak berbangkit lagi. Hari ini fokus kita ialah rundingan pembahagian kerusi,” katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan membangkitkan bantahan terhadap cadangan menerima PCM sebagai anggota PN.
Beliau berkata, bantahan itu dibuat atas dasar PN ketika ini masih berdepan isu antara parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan kerjasama dengan parti itu.
Beliau mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN tidak teratur selepas semakan mendapati terdapat isu berkaitan jawatan kepimpinan dan penggunaan nama parti.

0 Comments