HAMZAH, RAIS YATIM, RAHIM THAMBY CHIK - TERAJU UTAMA PARTI WAWASAN


“MAMPUKAH JADI KUASA POLITIK BAHARU ATAU SEKADAR HIMPUNKAN NAMA-NAMA BESAR TOKOH POLITIK”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pengumuman barisan kepimpinan tertinggi Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Presiden memberi gambaran bahawa parti baharu itu bukan sekadar mahu menjadi pelengkap landskap politik negara, sebaliknya bercita-cita muncul sebagai wadah alternatif yang mampu mencabar parti-parti sedia ada.

Apa yang menarik, struktur kepimpinan WAWASAN memperlihatkan gabungan tokoh politik veteran, bekas menteri, Ahli Parlimen serta profesional pelbagai kaum yang turut membawa bersama rangkaian pengaruh selain pengalaman luas dalam politik negara.

Pelantikan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Pengerusi dilihat memberikan nilai tambah kepada parti itu. Ini kerana beliau antara tokoh politik veteran yang pernah berkhidmat dalam beberapa pentadbiran kerajaan, dan akan menjadi aset penting dalam membentuk hala tuju parti.

Peranan itu diperkukuh dengan pelantikan bekas Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Datuk Tan Lek Khang sebagai Timbalan Presiden. 

Pada masa sama, kehadiran Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (bekas Pengerusi BERSATU Melaka) dan 
Datuk Wan Saiful Wan Jan (Ahli Parlimen Tasek Gelugor) selaku Naib Presiden bersama tiga yang lain, iaitu bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon; Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan, menunjukkan WAWASAN menampilkan imej lebih inklusif dan merentasi sempadan parti tradisional.

Lebih signifikan, pelantikan dua bekas pemimpin BERSATU yang dipecat sebelum ini, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota) sebagai Setiausaha Agung dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ahli Parlimen Machang) sebagai Ketua Penerangan memberi isyarat WAWASAN berpotensi menjadi destinasi politik baharu kepada kelompok yang mencari platform alternatif dalam blok pembangkang.

Penubuhan parti itu tidak dapat dipisahkan daripada Gerakan RESET Malaysia yang diasaskan Hamzah. Konvensyen RESET di Tanah Merah minggu lalu menjadi pentas kepada kelahiran WAWASAN, sekali gus mencerminkan usaha menterjemahkan gerakan rakyat kepada sebuah organisasi politik yang lebih tersusun.

Namun, cabaran sebenar WAWASAN bukan terletak pada kekuatan nama-nama besar dalam kepimpinan, sebaliknya kemampuan parti itu membina akar umbi yang kukuh di seluruh negara.

Dalam sejarah politik Malaysia, tidak semua parti yang dipimpin tokoh berprofil tinggi mampu bertahan lama. Kejayaan sesebuah parti bergantung kepada keupayaan menawarkan naratif yang jelas, menarik sokongan rakyat serta membina jentera yang kukuh sehingga ke peringkat cawangan.

Persoalan kini ialah sama ada WAWASAN mampu menampilkan identiti tersendiri atau sekadar platform menghimpunkan pemimpin yang pernah berada dalam parti-parti lain.

Apa yang pasti, kemunculan WAWASAN menambah satu lagi dimensi baharu dalam politik negara ketika persaingan antara parti semakin sengit dan pengundi semakin kritikal dalam membuat pilihan.

Dengan gabungan tokoh berpengalaman dan pemimpin generasi baharu, WAWASAN mempunyai asas untuk berkembang. Namun, sama ada parti itu mampu menjadi kuasa politik yang signifikan atau sekadar episod sementara dalam sejarah politik negara, hanya masa dan penerimaan rakyat akan menentukannya.


BARISAN KEPIMPINAN PARTI WAWASAN

Pengerusi: Tan Sri Dr Rais Yatim
Presiden: Datuk Seri Hamzah Zainudin 
Timbalan Presiden: Datuk Tan Lek Khang 
Naib Presiden: Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Datuk Leong Kim Soon, Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan
Setiausaha Agung: Dato’ Seri Saifuddin Abdullah 
Ketua Penerangan: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal 
Setiausaha Eksekutif: Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof 
Bendahari Agung: Datuk Arifin Tobias

25 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat:

1.Fathul Huzair Ayob (Ahli Parlimen Gerik)
2.Kapten Azahari Hasan (Ahli Parlimen Padang Rengas)
3.Dzowahir Ab Ghani (Exco Kedah)
4.Datuk Muhamed Farid Mohamed Zawawi (ADUN Kok Lanas) 
5.Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah Naib (bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM)
6.Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (bekas Ketua BERSATU Sepang) 
7.Dato’ Seri Asmawi Harun (bekas Ketua BERSATU Bera)
8.Datuk Zulkifli Bujang (bekas Ketua BERSATU Johor Bahru)
9.Dato’ Abdul Aziz Ismail (bekas Ketua BERSATU Dungun)
10.Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (bekas Ketua BERSATU Kepala Batas) 
11.Dayang Saniah Awang Hamid (bekas Ketua Srikandi BERSATU Kelantan)
12.Datuk Simon Suresh Varunamegam (bekas Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Wilayah Persekutuan) 
13.Dr Richard Ng
14.Ir Ts Mohd Khoushaini Mohd Naim
15.Tan Tee Beng
16.Tun Fiqa Mohammad
17.Phang Horng Woie
18.Syed Hassan Syed Ali
19.Yunus Nordin
20.Muhammad Fadhli Ismail
21.Wong Chan Giap
22.Hussien Ridzuan Ibrahim Basri
23.Bibi Sunita Sakandar Khan
24.Huan Xin Yun
25.Mohd Hamdan Mohd Sharif

Post a Comment

0 Comments