ANAK KEDAH, SIVASANGARI MUNCUL NAIB JUARA PUSINGAN AKHIR JELAJAH PSA

 

Oleh: Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR – Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari terlepas peluang menjuarai Pusingan Akhir Jelajah PSA 2025-26 selepas tewas 1-3 kepada pemain nombor satu dunia dari Mesir, Hania El-Hammamy pada perlawanan akhir di Paris, awal pagi tadi.

Meskipun gagal meraih gelaran juara, pemain kelahiran Kedah itu tetap mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai naib juara, sekali gus menjadi wakil terbaik Malaysia pada kejohanan berprestij tersebut selepas legenda skuasy negara, Datuk Nicol David.

Pada awalnya, Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan bermula kurang baik apabila tewas 6-11 pada set pertama, namun beliau bangkit memenangi set kedua 11-10 untuk meneruskan peluang mencabar kejuaraan.

Namun, Hania El-Hammamy kemudian kembali menguasai permainan sebelum memenangi dua set berikutnya 11-8, 11-8 bagi mengesahkan kemenangan dan gelaran juara.

Sebelum mara ke pusingan akhir, pemain skuasy wanita negara yang berada di kedudukan kelima dunia itu berjaya melakar kejutan besar apabila menewaskan pemain ranking kedua dunia dari Mesir, Amina Orfi dalam aksi cemerlang selama 74 minit dengan keputusan 8-11, 11-10, 11-8, 11-10 pada aksi separuh akhir.

Kemenangan tersebut menjadi satu pencapaian bermakna buat Sivasangari ke atas Amina Orfi yang hadir ke Paris dengan reputasi cemerlang selepas menjuarai Terbuka British dan Kejohanan Dunia musim ini.

Dalam pada itu, Sivasangari yang berlatih di bawah bimbingan Gregory Gaultier turut menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan.

Kejayaan muncul sebagai naib juara itu menyerlahkan prestasi cemerlang Sivasangari musim ini selepas turut menjuarai Piala Grasshopper di Zurich pada April lalu.

Post a Comment

0 Comments